Rabu, 10 November 2010

Mata lebam: Kabinet akan teliti usul potong gaji A-G

THE MALAYSIAN INSIDER


KUALA LUMPUR — Dewan Rakyat hari ini menolak dua usul Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) untuk memotong RM10 dari gaji Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Semasa membentangkan usul pertamanya terhadap gaji Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Lim (gambar) mendakwa Abdul Gani telah memberi keterangan palsu dalam siasatan insiden “mata lebam” Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Beliau juga mendakwa Abdul Gani tidak pernah menafikan dakwaan berkenaan meskipun dakwaan itu dibuat oleh pegawai penyiasat kes itu iaitu Datuk Mat Zain Ibrahim.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee kemudiannya memutuskan usul pertama itu ditolak setelah undian secara belah bahagian dibuat dengan 50 anggota Parlimen pembangkang menyokong usul dan 85 penyokong kerajaan pula tidak bersetuju.

Dalam usulnya, Lim menambah, Abdul Gani didakwa bahawa beliau mereka keterangan palsu dalam siasatan “mata lebam” Anwar — satu dakwaan yang tidak pernah dinafikannya sungghpun dakwaan berkenaan dibuat oleh pegawai polis yang bertanggungjawab terhadap siasatan berkenaan 12 tahun lalu.

“Dakwaan ini dibuat bukan oleh orang sembarangan tetapi oleh seorang pegawai polis kanan yang diberi amanah melakukan siasatan ke atas salah satu peristiwa paling hitam dalam sejarah polis dan pentadbiran baik negara ini.

“Kita menghadapi situasi yang pelik dan memeranjatkan di mana Peguam Negara, pegawai undang-undang tertinggi pangkatnya di negara yang juga merupakan pendakwa raya, didakwa melakukan tindakan yang menyongsangkan undang-undang dan Perlembagaan yang beliau dibertanggungjawabkan untuk mempertahankannya, sehingga menjejaskan dan menyongsangkan proses keadilan, tetapi tidak berani mengambil sebarang langkah untuk menafikan dakwaan-dakwaan serius seorang pegawai polis kanan, misalnya menerusi satu Suruhanjaya Siasatan Diraja,” kata beliau.

Lim menambah hanya atas perkara ini sahaja, satu usul mengutuk menerusi potong gaji RM10 adalah diperlukan.

Malah pada usul keduanya, Lim mendakwa Malaysia adalah negara yang paling buruk prestasinya di kalangan negara-negara Asia Pasifik dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International sejak 16 tahun kebelakangan ini yang juga ditolak oleh Dewan Rakyat setelah majoriti suara menolak usul berkenaan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz ketika menjawab usul terhadap gaji Peguam Negara berkata, perkara berkenaan akan dipanjangkan ke dalam mesyuarat Kabinet untuk tindakan susulan.

“Demi keadilan semua pihak terutama Peguam Negara, saya memerlukan notis mengenainya dan ia juga tidak boleh diselesaikan dalam masa singkat kerana pada masa ini beliau tiada dalam negara kerana sedang mengerjakan ibadah haji di Mekah,” kata beliau dipetik Bernama.

Dalam pada itu, Nazri berkata tiada indeks lain selain Indeks Persepi Rasuah (CPI) yang boleh diambil kira sebagai kayu pengukur bagi memastikan seluruh dunia dapat melihat usaha Malaysia dalam memerangi rasuah.

“Namun CPI adalah berkait rapat dengan persepsi dan ia bukan realiti. Kadang-kadang persepsi yang lahir dari kenyataan liar itu dibuat tanpa fakta jelas. Ini sudah tentu akan mempengaruhi indeks kita yang tak semestinya tunjuk kesungguhan kita untuk melawan nak hapuskan rasuah di negara kita,” katanya.

Sehubungan itu, Nazri meminta semua Ahli Parlimen terutamanya parti pembangkang supaya bersama-sama mencari jalan memerangi rasuah dan bukannya terus mengkritik kedudukan negara yang mendapat 0.1 mata lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.

Beliau juga berpendapat ketika ini agak sukar untuk Malaysia mendapat skor yang baik dalam CPI berbanding sebelum ini kerana beberapa perubahan yang berlaku di Malaysia

“Misalnya keterbukaan. Mungkin 15 tahun dulu skor tinggi. Masa itu mungkin takda keterbukaan seperti sekarang. Maka maklumat tak dapat disebar begitu meluas,” katanya.

Tiada ulasan: