Sabtu, 13 November 2010

Mahkamah tertinggi tolak kes Shamala mahu anaknya kekal Hindu

TERKINI

PUTRAJAYA— Mahkamah Persekutuan secara sebulat suara menolak permohonan seorang ibu yang mahu dua anak lelakinya, yang ditukarkan sebagai Islam oleh suaminya lapan tahun lalu, kekal dibesarkan dalam agama asal mereka iaitu Hindu.

Ibu terbabit, S. Shamala mengemukakan permohonan agar mahkamah menentukan kesahihan pertukaran agama kanak-kanak daripada satu perkahwinan sivil kepada agama Islam oleh bapa atau ibu tanpa persetujuan dan pengetahuan pihak yang tidak menukar agama.

Keputusan 5-0 oleh Mahkamah Persekutuan hari ini dilihat sebagai satu lagi ‘tamparan’ bagi pertikaian membabitkan pertukaran agama satu sebelah, yang sekian lama menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat pelbagai budaya dan negara sekular yang agama rasminya ialah Islam.

Panel hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Zaki Azmi juga memutuskan bahawa S. Shamala mesti kembali negara jika mahukan perlindungan mahkamah.

Ibu berusia 38 tahun itu meninggalkan negara bersama dua anak lelakinya pada 2004. Lokasi semasa mereka tidak diketahui.

Mahkamah Persekutuan dipertanggungjawabkan untuk menentukan kesahihan pertukaran agama kanak-kanak daripada satu perkahwinan sivil kepada agama Islam oleh bapa atau ibu tanpa persetujuan dan pengetahuan bapa atau ibu yang tidak menukar agama.

Mahkamah tertinggi itu dijadualkan membuat penghakiman terhadap lima persoalan undang-undang termasuk percanggahan undang-undang Islam dan sivil berkaitan pertukaran agama dan hal ehwal keluarga serta Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan beragama.

Shamala berkahwin dengan Jeyaganesh C. Mogarajah, 41, mengikut undang-undang perkahwinan sivil pada 1998 tetapi empat tahun kemudian, Jeyaganesh memeluk agama Islam dengan nama Muhammad Ridzwan Mogarajah.

Muhammad Ridzwan turut menukar agama kedua-dua anak lelaki mereka, Saktiwaran dan Theiviswaran yang ketika itu berumur tiga dan dua tahun kepada agama Islam tanpa pengetahuan dan persetujuan Shamala.

Satu daripada persoalan yang timbul adalah sama ada Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 yang memberikan hak kepada ibu atau bapa yang menukar agama anaknya daripada perkahwinan sivil tanpa pengetahuan dan persetujuan ibu atau bapa yang tidak menukar agama, tidak konsisten dengan Akta Penjagaan Kanak-kanak 1961.

Kes hak penjagaan anak Shamala-Muhamad Ridzwan dirujuk ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan persoalan perlembagaan.

Malaysia mempunyai dua sistem perundangan iaitu mahkamah sivil dan mahkamah syariah, yang membicarakan serta menjatuhkan hukuman terhadap orang Islam bagi kesalahan sivil dan jenayah agama.

Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 memberikan hak kepada ibu atau bapa yang menukar agama untuk mengubah agama anak-anak hasil perkahwinan sivil mereka tanpa pengetahuan dan persetujuan ibu atau bapa yang tidak menukar agama.

Peruntukan itu bagaimanapun tidak konsisten dengan pindaan Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961 yang memberikan hak sama rata kepada ibu atau bapa dalam membesarkan dan penjagaan anak-anak mereka.

Shamala yang memperoleh hak penjagaan terhadap dua anak lelakinya itu diperintah untuk tidak mengajar agama kepercayaannya kepada kedua-dua anaknya itu atau memberi mereka makan babi.

Dalam keputusan hari ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa ia tidak boleh mengamalkan “doktrin pelarian bahawa memiliki kepala saya menang, ekor anda kalah”, dalam menentukan hak setiap ibu bapa.

“Ibu bapa mesti ada asas yang saksama dan bukannya perwakilan yang tidak adil,” kata Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dalam penghakimannya.

Mahkamah juga memutuskan bahawa suami Shamala juga mempunyai hak sebagai seorang bapa.

Mahkamah dikemukakan lima persoalan undang-undang yang dirujuk oleh Shamala (dengan persetujuan Dr. Muhammad Ridzwan) sebelum rayuan kedua-dua pihak terhadap keputusan Mahkamah Tinggi didengar di Mahkamah Rayuan.

Pada Mei lalu, peguam M. Menon yang mewakili Dr. Muhammad Ridzwan mempertikaikan kewajaran bekas isterinya mengemukakan isu-isu perlembagaan dalam kes perebutan hak penjagaan dua anak mereka berikutan status wanita itu yang menghadapi perintah menghina mahkamah.

Menon mengemukakan bantahan awal bahawa penghujahan isu perlembagaan itu tidak wajar diteruskan berikutan ketidakhadiran ketiga-tiganya pada prosiding itu kerana dipercayai kini berada di Australia.

Panel hakim dianggotai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria; Malanjum dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin.

Malah pada prosiding Mei lalu, Datuk Dr. C. V Dass memohon bantahan awal itu ditolak atas alasan isu-isu perlembagaan berkenaan menarik perhatian umum melibatkan hak penjagaan anak bagi ibu bapa yang bercerai dalam keadaan seorang daripada mereka bertukar agama.

Dass berhujah, ia amat penting kerana keputusan mahkamah kelak akan memberi kesan bukan sahaja kepada kes Shamala dan Dr. Muhammad tetapi juga melibatkan keseluruhan masyarakat secara umumnya.

Malah beliau berhujah bahawa mahkamah perlu mentafsir sama ada Seksyen 95(b) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 bercanggah dengan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, Shamala perlu diberi peluang mencabar undang-undang Islam yang memberikan hak kepada bekas suaminya menukar agama anak mereka daripada perkahwinan sivil tanpa pengetahuan dan persetujuannya yang masih beragama Hindu.

Dalam keputusannya, Ketua Hakim Negara enggan memberi peluang kepada Shamala bagi mendengar isu-isu perlembagaan berhubung kesahihan mengislamkan kedua-dua anaknya yang ketika itu berusia tiga dan dua tahun pada 2002.

Ini kerana Shamala dipercayai meninggal negara ini untuk ke Australia pada 2004 bersama dua anak pasangan itu dan majoriti ahli panel juga enggan memberi masa untuk wanita itu kembali ke Malaysia bagi menentukan permohonan rujukannya, kata beliau dipetik Bernama.

Mahkamah juga memberikan permohonan Dr Muhammad Ridzwan yang membantah permohonan bekas isterinya yang didakwa tiada hak untuk didengar di mahkamah kerana wanita itu sedang berdepan dengan tindakan menghina mahkamah.

“Bagi membenarkan sekali lagi peluang akan menggalakkan orang seperti dia melakukan penghinaan mahkamah dengan harapan mahkamah akan memberi peluang untuk memperbetulkannya.

“Undang-undang dan perintah mahkamah perlu dihormati dan dipatuhi dan bukan dipandang rendah atau hina,” katanya.

Zaki berkata Shamala tidak berada di negara selama enam tahun sejak 2004 dan mempunyai hak penjagaan anak secara tidak sah.

“Sekiranya dia kembali ke Malaysia dan jika mahkamah mahu meminta anak-anak itu siapa mereka hendak tinggal bersama, besar kemungkinan mereka akan memilih untuk bersama ibu mereka,” katanya.

Oleh itu, Zaki berkata Shamala mempunyai kelebihan yang tidak adil kerana tidak mematuhi perintah mahkamah berhubung hak penjagaan bersama.

Malanjum pula berkata adalah adil untuk mahkamah memberikan tempoh tiga bulan untuk Shamala kembali ke Malaysia bagi mendengar permohonannya.

Bagaimanapun, katanya sekiranya Shamala tidak kembali dalam tempoh masa itu maka Mahkamah Persekutuan akan membatalkan permohonan itu dengan kos.

Shamala dalam permohonannya merujuk lima perkara ke Mahkamah Persekutuan yang pada dasarnya sudah dipersetujui oleh Mahkamah Rayuan.

Lima perkara tersebut adalah:

• Sama ada Seksyen 95 (b) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 adalah bercanggah atau ultra vires dengan Artikel 12 (4) Perlembagaan Persekutuan, khususnya berhubung hak menentukan agama kanak-kanak di bawah usia 18 tahun ditentukan oleh ibu bapa atau penjaga dan Artikel 8 berhubung hak sama rata;

• Sama ada seksyen yang sama dalam undang-undang negeri tidak konsisten dengan undang-undang persekutuan, khususnya Seksyen 5 (1) Akta Penjagaan Kanak-kanak 1961 dan justeru itu adalah tidak sah

• Berhubung Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, apabila hak penjagaan kanak-kanak diputuskan, mahkamah mana yang dianggap lebih berkuasa — antara Mahkamah Syariah atau Mahkamah Tinggi?

• Apabila kanak-kanak yang ibu bapa mereka berkahwin mengikut undang-undang sivil, ditukar agama kepada Islam oleh seorang daripada ibu bapa mereka tanpa pengetahuan seorang lagi, adakah hak ibu atau bapa yang bukan Islam itu terletak dengan Mahkamah Tinggi?

• Adakah Mahkamah Syariah mempunyai kuasa bagi menentukan kesahihan pertukaran agama golongan bawah umur ke Islam, apabila ia telah didaftarkan dengan Pendaftar Muallaf?

Bekas presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan, salah seorang peguam Shamala berkata, jawapan mahkamah kepada persoalan adalah amat penting bukan sahaja untuk anak guamnya tetapi juga kepada orang lain yang terperangkap dalam keadaan sama.

“Jika Shamala tidak ada tempat di mahkamah tertinggi negara ini bagi menuntut keadilan, mana lagi dia hendak pergi?,” tanyanya.

Katanya bahaya keputusan itu mungkin menggalakkan orang tidak menuntut keadilan di mahkamah tetapi meninggalkan badan kehakiman sama sekali.

Bagaimanapun, peguam Dr Muhammad Ridzwan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Zulkiflee Che Yong dan Azmi Mohd Rais menyambut baik keputusan itu kerana ia mengiktiraf hak berperlembagaan semua pihak yang terbabit

Tiada ulasan: