Rabu, 3 November 2010

Mahkamah perintah Khir Toyo beri jawapan

BERNAMA


Mahkamah Tinggi Sivil Shah Alam hari ini memerintahkan bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo untuk memfailkan jawapannya 3 Disember ini berhubung samannya terhadap ADUN Sekinchan Ng Suee Lim.

Pada 25 Oktober tahun ini, Mahkamah Tinggi mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Mohamad Khir untuk menjelaskan kenapa samannya ke atas Ng tidak perlu dibatalkan kerana pihaknya tidak mengambil sebarang tindakan selepas Ng memfailkan pernyataan pembelaannya sejak 26 Mac lalu.

Peguam bela Ng, M Manoharan memberitahu pemberita di luar mahkamah bahawa Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Mankiranjit Kaur telah mengarahkan peguam Mohamad Khir, M.Athimulan untuk memfailkan jawapan balas Mohamad Khir itu pada 3 Disember, tahun ini.

Mohd Khir tidak hadir di mahkamah tetapi Ng berada di mahkamah bersama Manoharan untuk pengurusan kes yang dijadualkan hari ini.

Manoharan juga berkata pada tarikh itu, hakim dijangka membuat keputusan sama ada untuk meneruskan perbicaraan berhubung saman sivil ke atas anak guamnya atau tidak.

Pada 7 Januari, Mohamad Khir menyaman Ng kerana memfitnah beliau dengan menyatakan bahawa bekas menteri besar itu memiliki sebuah rumah agam di Seksyen 7 di sini yang di luar kemampuannya.


1 ulasan:

orangkampong berkata...

Pasal Khir Toyo ni rakyat dah paham sangat sikap dia. Kokok jer yang lebih. Habuk pun tarak !.

Sekarang dia dah pening lalat da....