Selasa, 23 November 2010

Leftenan komander TLDM didakwa kemuka invois palsu lebih RM500,000

BERNAMA

IPOH – Seorang pegawai kanan pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap empat pertuduhan mengemukakan invois palsu membabitkan nilai keseluruhan lebih RM500,000 bagi pembelian rangsum segar atau pek makanan tentera, empat tahun lepas.

Zamri Jusoh, 38, seorang leftenan komander di TLDM Lumut dekat sini, didakwa mengemukakan empat invois palsu Landmark Plaza bernilai RM520,852,99 bagi pembelian rangsum segar pada 2006, ketika bertugas sebagai pegawai bekalan di Kapal Diraja Sri Indera Sakti.

Hakim Noor Hayati Mat membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan suratan pemalsuan sebagai tulen, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diwakili Ketua Unit Pendakwaan dan Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, Mahamad Sukri Abu Seman manakala Zamri diwakili peguam Norashikin Zainuddin.

1 ulasan:

Unknown berkata...

Betoi ka nii..
oh Meri....
atau Scapegoat saja..
Apa pun semoga benda tu tak betui jadinya..
Mat Nari