Sabtu, 13 November 2010

Lebih sejuta jemaah tunai solat di Masjidil Haram hari ini

BERNAMA


Masjidil Haram di Mekah digambarkan pada waktu malam. — WikiCommons

MEKAH — Lebih satu juta umat Islam membanjiri Masjidil Haram untuk menunaikan solat Jumaat hari ini, menjelang hari wukuf Isnin ini.

Seawal pukul 10 pagi waktu tempatan (3 petang waktu Malaysia) semua ruang dalam masjid suci itu dipenuhi jemaah pelbagai kaum dan bangsa dari seluruh pelusuk dunia.

Imam Besar Masjidil Haram, Sheikh Dr Abdul Rahman Al-Sudais mengimamkan solat Jumaat hari ini.

Cuaca panas mencecah 38 darjah Celsius tidak menghalang umat Islam mengisi semua ruang di dalam dan di luar Masjidil Haram sehingga hampir ke jalan raya.

Dalam khutbahnya antara lain, Sheikh Dr Abdul Rahman mengingatkan umat Islam yang hadir menunaikan haji atas niat yang satu iaitu mencari keredhaan Ilahi.

Menurut seorang rakan yang fasih berbahasa Arab yang bertugas dengan TV Al-Hijrah, Nabil Ahmad, Sheikh Dr Abdul Rahman mengingatkan jemaah haji bahawa Islam adalah agama penyatuan dan wajib bagi mereka saling tolong menolong.

Beliau juga mengingatkan jemaah haji supaya tidak melakukan perkara yang ditegah dan mengumpat sertakan mendoakan mereka mendapat haji mabrur.

Dianggarkan lebih 1.5 juta umat Islam tidak termasuk warga Arab Saudi yang menunaikan rukun Islam kelima itu tahun ini, akan berangkat ke Arafah untuk wukuf Isnin ini.

Semua 26,000 jemaah haji Malaysia telah tiba di tanah suci Mekah untuk menunaikan haji.

Tiada ulasan: