Sabtu, 27 November 2010

Laporan Jawatankuasa Negeri DAP Selangor 2010

MERDEKA REVIEW

Tahun 2010 merupakan satu tahun yang penuh dengan cabaran bagi Pakatan Rakyat dan DAP. Dalam tahun ini, DAP menyertai beberapa pilihanraya kecil, termasuk pilihan raya kecil Hulu Selangor, Sibu, Galas dan Batu Sapi. Para pemimpin dan ahli DAP di Selangor memainkan peranan yang agak aktif dalam siri pilihan raya kecil di Selangor ini.

Dalam tahun ini, usaha yang dilakukan oleh DAP Selangor adalah seperti berikut:

Organisasi DAP Selangor Diperkuatkan

Konvensyen DAP Selangor 2010 kali ini dihadiri oleh wakil-wakil daripada 144 buah cawangan bertaraf sijil A. Mengikut pengkalan data Ibu Pejabat DAP, setakat Oktober 2010, DAP Selangor sudah mempunyai 178 cawangan dan 6 Jawatankuasa Perhubungan Parlimen yang telah berdaftar. Selain itu, terdapat 17 cawangan baru dan satu jawatankuasa perhubungan kawasan parlimen tengah menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Pendidikan Politik

DAP Selangor telah membantu Ibu Pejabat DAP untuk menganjurkan satu seminar Ahli-ahli Majlis Kerajaan Tempatan DAP peringkat kebangsaan pada 31 Januari dan 1 Februari 2010. Bengkel ini dihadiri oleh kebanyakan Ahli-ahli Majlis di Selangor. Seminar ini berjaya mengeratkan hubungan kerja sesama Ahli-ahli Majlis DAP Selangor dan juga hubungan di antara Ahli Majlis DAP Selangor dengan Ahli Majlis DAP di negeri lain.

Selain itu, satu seminar Persediaan Pilihanraya Umum juga telah diadakan pada 22 Ogos 2010 di Dewan Perpustakaan MBPJ dengan kerjasama Jawatankuasa Pro-Tem DAP USJ East.

Siri program memperingati ulang tahun kematian pertama mendiang Sdr Teoh Beng Hock juga telah diadakan di Kajang, Tanjung Karang, Serdang, Kalumpang pada tahun ini.

14 Orang Ahli Majlis Baru Dilantik Bagi Sesi 2010/2011

Kerajaan negeri telah melantik Ahli-ahli Majlis yang baru bagi sesi 2010/2011. Di kalangan ahli majlis yang terlantik ini, terdapat 14 orang muka baru manakala 2 orang Ahli Majlis bertukar ke PBT asalnya.

Demi mengeratkan hubungan di antara ahli majlis PBT dan hubungan di antara ahli majlis dengan anggota Jawatankuasa Negeri DAP Selangor, Jawatankuasa DAP Selangor telah mengadakan mesyuarat bulanan dengan Ahli Majlis di seluruh Negeri Selangor. Di dalam mesyuarat ini, EXCO DAP di kerajaan Selangor akan memberi taklimat tentang dasar dan keputusan kerajaan dan para ahli majlis juga akan memberitahu masalah dan isu di PBT masing-masing kepada Jawatankuasa Negeri Selangor dan EXCO kita. Sebanyak tujuh mesyuarat bulanan telah diadakan dalam tahun 2010.

DAP Selangor Mendaftar Paling Ramai Pengundi Baru

Mengikut rekod Suruhanjaya Pilihanraya, DAP merupakan parti yang mendaftarkan paling ramai pengundi baru pada tahun 2010 berbanding dengan parti politik yang lain. Sehingga bulan November 2010, DAP berjaya mendaftarkan lebih 16,000 pengundi baru. Kita harus memberi penghargaan kepada semua Penolong Pendaftar Sementara (PPS) parti kita.

Sehubungan dengan itu, seramai 112 orang PPS DAP yang baru telah dilantik bagi kesemua 56 DUN di Selangor. Kami berharap semua PPS dapat mendaftar lebih ramai pengundi baru sebelum pilihanraya umum (PRU) yang akan datang.

Penjualan Akhbar Roket

Sehingga kini, Ahli-ahli Majlis, ADUN dan Ahli-ahli Parlimen dikehendaki menjual lebih kurang 3,600 naskah Roket sebulan. Setakat bulan November, DAP Selangor telah menjual sebanyak 31,700 naskah akhbar Roket sepanjang tahun 2010. Di antaranya, 18,550 naskah dalam Bahasa Cina, 11,350 naskah Bahasa Inggeris dan 1,800 naskah Bahasa Malaysia.

DAP Selangor Memainkan Peranan Gigih Dalam Pilihanraya Kecil P.094 Hulu Selangor

DAP Selangor telah memainkan peranan yang amat aktif dan komited dalam Pillihanraya Kecil (PRK) P.094 Hulu Selangor yang diadakan pada 25 April 2010.

Walaupun calon Pakatan Rakyat Zaid Ibrahim kalah dengan majoriti sebanyak 1,725 undi, tetapi undi yang diperolehi oleh calon Pakatan Rakyat di beberapa kawasan pengundian Cina menunjukkan pengaruh DAP dan Pakatan Rakyat telahpun diperluaskan di kawasan-kawasan tersebut.

Post-mortem pilihan raya kecil ini menunjukkan kekalahan ini disebabkan oleh serangan peribadi BN terhadap calon PR, kegagalan jentera PR menyampaikan mesej ke kawasan-kawasan luar bandar khususnya di kawasan FELDA, ketidakserasian jentera-jentera ketiga-tiga parti PR dalam kempen ini dan lain-lain.

Strategi yang digunakan oleh parti kita telah berjaya mengukuhkan pengaruh parti kita di DUN Kuala Kubu Baru. Kita percaya sekiranya kita terus memberi perhatian di kawasan DUN berkenaan, peluang DAP untuk menawan DUN Kuala Kubu Baru pada pilihanraya yang akan datang adalah cerah.

Penutup

Jawatankuasa DAP Selangor telah cuba sedaya upaya untuk memainkan peranan kita untuk menguatkan organisasi parti di samping memainkan peranan di dalam Kerajaan Pakatan Rakyat.

Memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-13 besar kemungkinan akan diadakan pada tahun 2011, seluruh jentera DAP haruslah bergerak dalam satu pasukan yang lengkap untuk menghadapi Pilihan Raya Umum yang akan datang.

*Laporan Jawatankuasa Negeri DAP Selangor 2010 yang disediakan oleh Lau Weng San selaku Setiausaha DAP Selangor.

Tiada ulasan: