Isnin, 22 November 2010

Lambang: Pakatan belum terima respons ROS


PETALING JAYA – Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata, Pakatan Rakyat – gabungan PAS-DAP-PKR masih membincangkan tentang lambang yang akan digunakan sebelum mendaftarkannya di Perdaftar Pertubuhan Malaysia (ROS).

“Kita masih lagi membincangkan perkara ini, dulu pun ROS ada minta kita supaya kita menambah nama Malaysia di belakang Pakatan Rakyat supaya jadi Pakatan Rakyat Malaysia.

“Supaya ia mencerminkan satu Malaysia tapi berbincangan ini adalah beberapa bulan lalu. Kita pun sehingga kini masih belum dapat respons daripada ROS.

“Malah, ia tidak halang Pakatan Rakyat menjalankan program, kita juga akan mengadakan konvensyen Pakatan Rakyat di Pulau Pinang bulan depan,” katanya ketika sidang media hari ini.

Ahli Parlimen Machang itu (gambar) berkata, perbincangan mengenai lambang Pakatan Rakyat masih lagi diteruskan kerana ingin mendapatkan keputusan tepat selain tidak akan mengelirukan pengundi.

“Kita masih lagi berbincang ... kita tidak mahu kalau kita pilih lambang yang tidak sesuai, ia akan beri kesan kepada pengundi terutamanya pengundi tradisi.

“Sebagai contoh dalam pilihan raya di kawasan pedalaman di Nenggiri, selama ini hanya Umno dan PAS sahaja yang bertanding di sana. Pengundi tradisi ini hanya tahu lambang Umno adalah dacing manakala PAS adalah bulan.

“Jadi nanti kalau mereka tengok lambang PAS tiada, maka mereka tidak akan keluar mengundi. Mungkin juga ada pihak yang akan mengatakan PAS tidak bertanding,” katanya.

Beliau berkata kebimbangan berlaku kejadian itu turut diambil kira dalam menentukan lambang Pakatan Rakyat yang akan digunakan ketika pilihan raya.

“Ia akan menimbulkan kebimbangan kepada pengundi tradisi.

“Jadi kita masih lagi berbincang mengenai perkara ini,” katanya.

Semalam Ketua Pengarah ROS Datuk Md Alias Kalil berkata, pihaknya belum menerima permohonan PKR-DAP-PAS untuk mendaftarkan lambang Pakatan Rakyat.

“Sebenarnya, parti (Pakatan Rakyat) itu pun belum diluluskan lagi,” kata beliau dipetik Bernama semalam.

Pakatan Rakyat dibentuk membabitkan ketiga-tiga parti itu selepas pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.

Laporan sebelum ini menyebut permohonan untuk mendaftar Pakatan Rakyat telah dipanjangkan kepada pejabat pendaftar pertubuhan.

Dalam pada itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata hasrat pakatan Parti Keadilan Rakyat (PKR)-DAP-PAS untuk bertanding menggunakan satu lambang menjelang pilihan raya negeri Sarawak hanya satu alat untuk mengaburi rakyat akan perjuangan mereka yang sudah tidak sehaluan.

Beliau berkata PKR-DAP-PAS yang tidak mempunyai persefahaman dan mahu menggunakan satu lambang dalam pilihan raya negeri akan datang merupakan sesuatu yang melucukan.

“Apabila dalam parti sendiri, kerusi dan meja sudah melayang tetapi bercadang pula untuk menggunakan satu lambang (pada pilihan raya akan datang), ia merupakan kosmetik.

“Di negeri-negeri yang mereka memerintah, janji tidak ditunaikan sehingga rakyat marah manakala wakil-wakil rakyat pun keluar daripada parti. Jadi, apa yang nak dibincangkan pasal bertanding di bawah satu lambang?” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tiada ulasan: