Khamis, 18 November 2010

Kumpulan pertama penuntut OUM terima PhD

SINAR HARIAN ONLINE

KUALA LUMPUR - Buat julung kali sejak penubuhannya pada 2000, kumpulan pertama tujuh graduan Doktor Falsafah (PhD) Universiti Terbuka Malaysia (OUM) akan menerima ijazah mereka pada konvokesyen kesembilan universiti itu, yang berlangsung empat hari mulai 20 November.

Presiden OUM dan Naib Canselor Prof Emiritus Tan Sri Anuwar Ali berkata, empat graduan akan menerima PhD Pengurusan Perniagaan, dua (PhD Pendidikan) dan seorang graduan PhD Kejuruteraan.

Bercakap kepada pemberita di sini, hari ini, beliau berkata sejumlah 5,931 graduan akan menerima ijazah masing-masing dengan 254 menerima ijazah sarjana, 5,517 graduan menerima ijazah sarjana muda kepujian manakala 153 menerima diploma.

"Graduan paling ramai adalah daripada Fakulti Pendidikan dan Bahasa dengan sejumlah 3,679 orang, Perniagaan dan Pengurusan (893), Sains dan Teknologi (865), Teknologi Maklumat dan Komunikasi Multimedia (284) dan seramai 210 graduan daripada Sekolah Kejururawatan dan Sains Kesihatan Bersekutu," katanya.

Anugerah Canselor akan dianugerahkan kepada Low Suan Hua yang menerima Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Rendah) dengan Kepujian manakala Allahyarham Tan Sri Dr Abdullah Sanusi Ahmad akan dianugerahkan Ijazah Kehormat (Posthumous)Doktor Pengurusan sebagai menghargai sumbangannya sebagai pengasas OUM dan presiden sebelum beliau meninggal dunia pada November 2003.

OUM, mengadakan konvokesyen pertama pada Disember 2004, dan sejak itu sudah melahirkan 32,601 graduan.

Dalam perkembangan lain, Anuwar berkata lapan kursus baru akan ditawarkan OUM bagi pengambilan sesi Januari iaitu Pasca Diploma Dalam Pendidikan, Sarjana Muda (Kepujian) Pendidikan Awal Kanak-kanak, Ekonomi dan Sains Komputer, Sarjana pentadbiran Awam, Sarjana Pengajian Islam, Sarjana Teknologi Maklumat (Pengkomputeran Rangkaian) dan Sarjana Pengajian Bahasa Inggeris.

Anuwar berkata, sebagai universiti berkonsepkan Pembelajaran Sepanjang Hayat, OUM sentiasa mementingkan kualiti graduan yang dihasilkan, menambah baik silibus kursus dari semasa ke semasa selain melatih tutor berkelayakan daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta untuk memberi tunjuk ajar kepada para penuntut.

Beliau berkata, graduan juga tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan pekerjaan memandangkan kebanyakan penuntut sudah mempunyai kerjaya masing-masing, malah mendapat kenaikan pangkat selepas menamatkan pelajaran di OUM.

1 ulasan:

shazmonaz berkata...

tahniah.. gunakan dgn sebaik mungkin dan berkongsi ilmu bersama..

www.shamonaz.blogspot.com