Khamis, 18 November 2010

Kualiti Sungai Dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong

MERDEKA REVIEW

Walaupun terdapat pembangunan yang pesat di negeri Selangor, pada keseluruhannya kualiti alam sekitar di negeri Selangor tidak menunjukkan penurunan yang signifikan berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini. Kualiti alam sekitar di Selangor berada pada tahap yang sama untuk tempoh lima tahun kebelakangan dengan sedikit peningkatan dan penurunan bagi parameter-parameter tertentu disebabkan oleh faktor atau pengaruh cuaca. Ini akibat peningkatan penguatkuasaan dan pemantauan oleh agensi-agensi Kerajaan Negeri.

Berdasarkan indeks kualiti air di negeri Selangor bagi tahun 2009, status keseluruhan satu sub lembangan sungai, iaitu Sungai Bernam, dikategorikan bersih. Manakala lima sub-lembangan, iaitu Sungai Selangor, Sungai Tengi, Sungai Langat, Sungai Sepang, dan Sungai Klan sebagai sederhanan tercemar dan satu lagi sub-lembangan, iaitu, Sungai Buloh didapati tercemar.

Manakala paras kepekatan pencemar bagi parameter pepejal terampai (SS) di semua sungai di negeri Selangor didapati meningkat. Peningkatan tersebut berpunca daripada hakisan tebing sungai dan pengorekan pasir.

Sementara itu, paras kepekatan pencemar bagi parameter ammoniakal nitrogen (NH3-N) di Sg Klang, Sg Tengi, Sg Sepang, Sg Langat dan Sg Buloh didapati meningkat yang mana berpunca daripada pelepasan air kumbahan tanpa rawatan atau separa terawat dan juga aktiviti pertanian.

Bagi parameter keperluan oksigen biokimia (BOD5) menunjukkan peningkatan di Sg Sepang, Sg Tengi, Sg Selangor, Sg Bernam dan Sg Buloh manakala di Sg Langat dan Sg Klang didapati paras BOD5 menurun. Paras keperluan oksigen kimia (COD) direkokdkan meningkat di Sg Buloh, Sg Tengi dan Sg Selangor pada tahun 2009 manakala penurunan paras COD dikesan di Sg Langat, Sg Klang dan Sg Sepang.

*Kenyataan media Elizabeth Wong selaku Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar.

Tiada ulasan: