Jumaat, 5 November 2010

Ku Li: Terima kasih PAS

Salhan K Ahmad

Pengarah jentera BN bagi pilihan raya kecil DUN Galas Tengku Razaleigh merakamkan penghargaannya kepada PAS kerana "tidak menimbulkan banyak masalah" kepadanya sepanjang 10 hari berkempen.

"Saya juga telah menasihatkan pemimpin BN supaya tidak menyentuh peribadi pemimpin lawan mereka demi menjaga pemuafakatan dalam membela hak rakyat," katanya dalam sidang media di kediamannya di Bukit Cekati selepas pengumuman kemenangan BN malam ini.

Tengku Razaleigh yang juga ahli parlimen Gua Musang berkata, beliau tidak merasakan PAS telah melancarkan serangan peribadi terhadapnya sepanjang tempoh kempen tersebut.

"Kalau dia nak tuduh saya, biar dia tuduh. Saya tidak perlu jawab kerana tidak benar," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut ditanya sekiranya kemenangan ini menandakan sokongan masyarakat mula berubah kepada BN selepas penolakan dalam pilihan raya umum 2008.

"Tak tahulah ini boleh jadi ukuran sama ada rakyat boleh terima kita balik," katanya.

Namun, katanya, ia tetap menunjukkan sokongan hebat masyarakat tempatan yang mahukan "perubahan."

"Ramai golongan muda beri sokongan kepada kita, menampakkan mereka mahu kepada perubahan, mereka mahukan pembangunan yang memberi makna kepada mereka seperti peluang pekerjaan dan perniagaan," katanya.

Menurutnya lagi, cara lama dengan menggunakan media tradisional yang dikawal ketat oleh kerajaan, tidak lagi berkesan dalam kempen pilihan raya.

Sebaliknya pendekatan melalui media baru yang lebih bebas sepatutnya digunakan bagi memikat hati rakyat, tambahnya.

"Saya ingin pergi lebih jauh dari sini dan tidak lagi gunakan cara tradisi.

"Masa sudah sampai untuk kita bebaskan media supaya tidak dikawal begitu ketat.

"Memang wajar pertimbangkan supaya media dibebaskan supaya tidak begitu dikawal.

"Kita tengok ancaman keselamatan pun dah berkurangan," katanya dan menambah, masyarakat sekarang lebih banyak memilih media alternatif," katanya lagi.


Sementara itu, Bernama melaporkan pengerusi badan perhubungan BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed menganggap kemenangan besar BN di kawasan DUN Galas sebagai sesuatu di luar jangkaan yang memberikan petanda kebangkitan BN di Kelantan.

"Kemenangan ini sesuatu yang di luar jangkaan kerana pada awalnya kita jangkakan peluang 50-50 atau menang tipis, tetapi peningkatan jumlah undi ini sesuatu yang di luar jangkaan. Ini petanda yang baik, bermakna rakyat telah terima transformasi yang dibuat kerajaan BN dan menolak strategi pembangkang yang menabur fitnah, bongkak dan kasar," katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Sivik Gua Musang malam ini.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata pendekatan kempen sederhana yang diterajui Tengku Razaleigh mendatangkan hasil yang membanggakan dan boleh dipraktikkan di peringkat nasional.

Katanya beliau yakin calon BN, Abdul Aziz Yusoff mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan bagi menyelesaikan masalah dihadapi rakyat di DUN itu.

Ditanya mengenai sama ada kemenangan itu akan menjadi titik kejatuhan Pas di Kelantan, Mustapa berkata "Saya tidak mahu tamak dan takbur, kita diajar bersederhana, tetapi ia akan memberi keyakinan dan semangat kepada BN Kelantan".

Naib Presiden MCA Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata pengundi Cina telah membuktikan sokongan mereka di Galas bahawa mereka mahukan kemajuan yang hanya mampu dilakukan oleh BN dan menerima konsep perpaduan 1Malaysia.

"Masyarakat Cina sudah jemu dengan janji kosong kerajaan Pas Kelantan yang gagal memberi kemajuan kepada mereka. Saya juga ucap terima kasih kepada jentera MCA yang pro-aktif sepanjang kempen PRK Galas," katanya yang juga menteri pelancongan.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata kemenangan besar BN menunjukkan rakyat sudah hilang kepercayaan kepada pembangkang yang kini banyak dibelenggu masalah dalaman parti sehingga menyebabkan mereka bergaduh sesama sendiri.

"Ini menjadikan mereka lebih sibuk untuk mendapatkan kedudukan di dalam parti daripada memberikan perhatian kepada masalah rakyat," katanya yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata kemenangan BN akan menyuntik semangat baru kepada jentera wanita Umno di seluruh negara.

"Komitmen dan kerja keras wanita Umno turut menyumbang BN menang besar di Galas dan Batu Sapi," katanya.

Pengerusi Parti Progresif Rakyat (PPP) Kelantan, Datuk Nik Sapeia Nik Yusof berkata kemenangan BN itu menandakan rakyat Kelantan menerima kepimpinan dan dasar yang dilaksanakan Perdana Menteri.

"Kejayaan ini juga dicapai melalui rangkaian kerja yang menepati kehendak rakyat di Galas diterajui Tengku Razaleigh," katanya.

Pengerusi Veteran Umno Kelantan, Datuk Rozali Isohak berkata kemenangan besar BN kali ini membuktikan gandingan mantap antara Tengku Razaleigh dan Mustapa yang terbukti sebagai tokoh berjasa dalam membangun dan memajukan rakyat Kelantan.

"Saya harapkan wakil BN di Galas dapat bekerja kuat untuk memastikan kemenangan dikekalkan dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.

Tiada ulasan: