Sabtu, 6 November 2010

KTM nafi pembinaan landasan berkembar elektrik punca banjir

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad hari ini menafikan dakwaan bahawa pembinaan landasan berkembar elektrik di beberapa daerah di Kedah sebagai punca kejadian banjir besar di negeri itu.

KTM Berhad berkata kejadian bencana alam itu tidak langsung disumbangkan oleh Projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar yang sedang dijalankan kerana bencana alam serupa turut melanda negara jiran iaitu Thailand serta Kelantan dan Terengganu.

Dari aspek sistem saliran, pemaju projek iaitu syarikat MMC-Gamuda Joint Venture telah melaksanakannya dan struktur yang dibina adalah mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), kata KTM Berhad dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kerajaan PAS Kedah hari ini mendakwa banjir buruk yang kini melanda negeri itu adalah disebabkan kerja pembinaan landasan kereta api berkembar yang sedang berjalan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menggesa kontraktor landasan kereta api berkembar itu, MMC-Gamuda Joint Venture (Gamuda) membesarkan saliran air supaya air banjir dapat disalirkan ke sungai dengan cepat.

KTM Berhad berkata banjir besar yang melanda Kedah dan Perlis adalah berpunca daripada cuaca buruk luar biasa dan pembukaan empangan yang mana paras airnya berada di tahap bahaya untuk menaikkan paras air sedia ada.

Syarikat pengangkutan itu turut menanggung kerugian mencecah jutaan ringgit apabila bencana banjir turut menyebabkan berlakunya kerosakan pada struktur dan landasan baru yang sedang dibina.

“Projek yang bermula pada hujung 2008 itu, kini telah mencapai kemajuan 54 peratus secara keseluruhannya, namun disebabkan kejadian banjir luar biasa itu, kerja-kerja projek juga telah tertangguh,” kata kenyataan itu.

Perkhidmatan tren KTM Berhad juga terjejas apabila sebanyak 20 perkhidmatan tren menuju ke arah utara terpaksa dibatalkan berikutan bencana alam itu.

KTM Berhad berharap agar situasi sedia ada akan kembali pulih supaya perkhidmatan tren dapat diteruskan dan perlaksanaan projek dapat disempurnakan mengikut jadual yang akan memberi manfaat kepada penduduk di setiap negeri yang dilaluinya termasuk Kedah.

“KTM Berhad dan pemaju projek akan memantau dari semasa ke semasa (keadaan ini) dan akan memberikan kerjasama serta menghulurkan segala bantuan yang perlu dalam memastikan keselamatan orang ramai dan kemusnahan harta benda dapat diminimumkan,” katanya. — Bernama

Tiada ulasan: