Rabu, 10 November 2010

K'tan dakwa pelantikan pengerusi MSN tidak sah

BERNAMA


Kerajaan Kelantan mendakwa pelantikan pengerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan selama ini adalah tidak sah kerana tidak mematuhi peruntukan sedia ada.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri, Ab Fattah Mahmood berkata antara peruntukan itu, Kementerian Belia dan Sukan perlu berbincang dengan Menteri Besar Kelantan terlebih dahulu sebelum melantik pengerusi MSN itu.

"Kementerian Belia dan Sukan melalui menteri perlu mengadakan perbincangan untuk melantik pengerusi (MSN) tetapi kementerian tidak pernah berbuat demikan (mengadakan perbincangan).

"...dan dengan itu saya boleh katakan pengerusi yang dilantik ini adalah pengerusi haram (tidak sah) kerana ketidakpatuhan perkara ini," katanya ketika menjawab soalan Wan Hassan Wan Ibrahim (PAS-Limbongan) di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darul Naim di Kota Bharu hari ini.

Pengerusi MSN Kelantan ketika ini adalah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang juga timbalan presiden persatuan bola sepak Kelantan dan ketua Umno bahagian Machang.

Ab Fattah berkata bagaimanapun kerajaan negeri tidak ada kuasa untuk memilih dan melantik pengarah MSN kerana terpulang pada pihak kementerian dan MSN sendiri.

Sementara itu beliau meminta agar semua pihak tidak mempolitikkan industri sukan negeri ini kerana ia tidak memberi kebaikan kepada semua pihak.

"Tidak benar dakwaan kerajaan tidak menepati janji untuk diberikan kepada MSN terutamanya dalam membangunkan sukan negeri ini," katanya.

Dewan juga diberitahu sejak 2005 hingga tahun ini hanya 10 kes pembuangan bayi direkodkan oleh pihak polis di Kelantan.

Ab Fattah berkata bagi mengelakkan berlakunya masalah yang sama, kerajaan negeri akan membantu para belia yang cukup syarat untuk berkahwin seperti menganjurkan majlis perkahwinan perdana.

"Bagaimanapun kita tidak bercadang untuk mewujudkan Sekolah Harapan seperti di Melaka dan kita menerima pakai peruntukan yang sama seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.

Menjawab soalan lain, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan Dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata kerajaan negeri bercadang memperluas penggunaan mata wang dinar dan dirham dalam urusan pengambilan orang gaji dari Indonesia.

"Kita sudah mengadakan perbincangan dengan pihak di Indonesia untuk kita menggunakan dinar dan dirham bagi menggantikan rupiah sebagai deposit pengambilan orang gaji itu.

"Di Indonesia penggunaan dinar dan dirham sudah semakin meluas begitu juga di Amerika Syarikat yang menggunakan istilah gold coin termasuk di Sepanyol," katanya ketika menjawab soalan Nik Mazian Nik Mohamed (PAS-Gaal).

Ketika menjawab soalan Abdullah Yaakub (PAS-Air Lanas) Husam berkata Kelantan kini mencatatkan 4.1 peratus kadar miskin tegar dengan pendapatan per kapita kini RM6,821.


Tiada ulasan: