Isnin, 22 November 2010

Komponen BN perlu berubah bukannya terima anggota bersekutu, kata bekas Adun PKR



BN tidak memerlukan anggota bersekutu jikalau Umno, MIC, and MCA berubah, kata Jamaluddin. — gambar fail

KUALA LUMPUR — Jamaluddin Mohd Radzi, Adun Perak yang meninggalkan PKR awal tahun lalu untuk bertindak sebagai wakil rakyat “mesra BN” tidak melihat usaha perikatan itu mahu memperkenalkan status anggota langsung dan anggota bersekutu akan membawa kesan diharapkan bagi usaha menarik sokongan berkekalan.

Sebaliknya, beliau menasihatkan agar parti-parti komponen BN supaya melakukan perubahan dengan memperbaiki segala kesilapan masa lalu, yang mencetuskan rasa tidak puas hati dan kemarahan rakyat — yang digambarkan dalam pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.

Sehubungan itu beliau menimbulkan persoalan mengapa ada pihak sama ada orang Melayu, Cina atau India enggan menjadi ahli parti komponen BN, sebaliknya menyokong parti-parti pembangkang ataupun enggan menyertai parti politik langsung.

“Jika Umno, MIC dan MCA berubah, saya fikir mereka akan berminat menyertai parti-parti ini... ya, begitu juga di Sabah dan Sarawak,” kata beliau.

“Rakyat marah dengan pemimpin-pemimpin parti di peringkat cawangan dan bahagian kerana macam-macam sebab, misalnya menghalang masuk cawangan.

“Jadi, bagi saya kita betulkan kesilapan-kesilapan di parti-parti komponen, perlu ada ketelusan... kalau ini dilakukan, tidak perlu anggota bersekutu... kita kena berubah, perlu berlaku adil, kena ada perubahan,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

“Saya tidak nampak kesan jadi anggota bersekutu... kalau tidak, sampai bila pun kita tidak betulkan keadaan, tidak ada perubahan (di kalangan komponen BN),” kata bekas pemimpin PKR Perak ini.

Kelmarin, Dewan Tertinggi BN bersetuju meminda perlembagaannya dengan memperkenalkan keanggotaan bersekutu dan keanggotaan bergabung secara terus berkuat kuasa serta-merta.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi BN berkata keputusan bersejarah itu memperlihatkan usaha BN menjadi parti yang inklusif dan terbuka kepada semua yang berkongsi pada konsep, prinsip dan dasar perjuangan parti pemerintah berkenaan dan selesa dan serasi jika menjadi anggota bersekutu.

“Mereka yang ingin menyertai BN boleh mohon secara terus menjadi anggota bersekutu. Bagaimanapun Dewan Tertinggi BN akan tentukan hak-hak dan keistimwewaan mereka yang menjadi ahli (anggota) bersekutu.

“Anggota bersekutu tidak mempunyai hak yang sama seperti mana anggota pada parti komponen tetapi kita ingin memperlihatkan BN sebagai parti yang inklusif dan bersikap pintu terbuka,” katanya.

Beliau berkata Dewan Tertinggi BN turut memutuskan bahawa keanggotaan bergabung boleh dipohon secara terus yang bererti mana-mana pertubuhan politik, persatuan, pertubuhan bukan kerajaan boleh memohon menjadi anggota.

BN akan menghalusi perkara itu pada konvensyennya Ahad ini.

Ketika ditanya sama ada akan menyertai sebagai anggota bersekutu BN, Jamaluddin berkata, “daripada jadi anggota bersekutu, lebih baik saya masuk Umno.”

“Kalau nak masuk sebagai anggota bersekutu, saya sudah lama masuk Umno dah,” katanya berseloroh.

Jamaluddin merupakan salah seorang daripada tiga Adun Pakatan Rakyat meninggalkan parti masing-masing iaitu PKR dan DAP, sekali gus membawa kepada tumbangnya kerajaan negeri pimpinan pakatan itu awal tahun lalu.

Malah beliau juga berpendapat bahawa penyertaan sebagai anggota bersekutu tidak akan memperlihatkan keseriusan individu terbabit.

Lazimnya, kata beliau, mereka yang meminati politik akan menyertai mana-mana parti politik mengikut ideologi masing-masing.

“Manusia ini, kalau meminati politik, mereka akan menyatakan parti politik pilihan mereka, pertubuhan politik.

“Jika menjadi anggota bersekutu, saya tidak nampak mereka akan serius sebab mereka tidak nampak peranan dan struktur sayap anggota bersekutu,” kata beliau sambil mengakui mungkin terlalu sebab pelaksanaan langkah baru ini belum nampak jelas.

“Mungkin tujuan perdana menteri itu baik, saya nampak anggota bersekutu tidak akan membawa kesan,” katanya.

Tiada ulasan: