Khamis, 11 November 2010

Khir Toyo dimasukkan ke hospital, disyaki demam denggi

BERNAMA


Khir dipercayai mengalami demam denggi. — gambar fail

SHAH ALAM — Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dimasukkan ke Pusat Perubatan Selangor (SMC) di sini pagi tadi kerana disyaki menghidap demam denggi.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang itu dimasukkan ke hospital tersebut kira-kira pukul 10 pagi selepas mengadu demam, sakit kepala dan badan menggeletar.

Isteri beliau, Datin Seri Zaharah Kechik ketika dihubungi berkata beliau yang bimbang dengan keadaan kesihatan suaminya itu terus membawanya ke SMC untuk pemeriksaan lanjut.

“Apabila tiba di hospital, doktor yang melakukan pelbagai pemeriksaan termasuk mengambil sampel darahnya mengesyaki Datuk Seri mungkin mengalami demam denggi.

“Dr Khir kemudian diminta untuk menjalani rawatan lanjut bagi memastikan keadaannya baik dan beliau kini berehat di wad,” kata beliau.

Sementara itu, ketika membahaskan ucapan Belanjawan 2011 di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini, anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan daripada DAP, Ng Suee Lim menanyakan di mana Khir yang tidak hadir untuk mendengar perbahasan.

Adun Sungai Pelek daripada Barisan Nasional (BN) Yap Ee Wah, bangun dan memberitahu dewan bahawa Khir tidak hadir pada hari ini kerana dimasukkan ke hospital disyaki menghidap demam denggi.

Tiada ulasan: