Sabtu, 27 November 2010

Ketua Polis Selangor baru, azam tingkatkan kualiti perkhidmatan

SELANGOR KINI


SHAH ALAM - Ketua Polis Selangor yang baru, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata, beliau berazam untuk memperhebatkan lagi usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan barisan hadapan pasukan itu kepada masyarakat.

Tun Hisan berkata, usaha untuk menilai semula kaedah atau cara sesuatu tugas polis dijalankan akan dijadikan keutamaan beliau semasa memegang jawatan itu.

“Saya akan cuba mengubah proses kerja perkhidmatan polis dari semasa ke semasa di Selangor yang didapati ada kelemahan tertentu.

“Lebih banyak latihan dalaman perlu diberikan kepada pegawai, anggota serta staf yang bekerja di organisasi polis di peringkat barisan hadapan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas menerima tugas Ketua Polis Selangor daripada Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Selangor di
sini, hari ini.

Majlis itu disaksikan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Tun Hisan menggantikan Datuk Khalid Abu Bakar yang dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam.

Ketua Polis Selangor itu berkata, pihaknya akan meneruskan visi Ketua Polis Negara yang menekankan konsep 4P – ‘Protective’ (Melindungi), ‘Performance’ (Prestasi), ‘Proactive’ (Proaktif) dan ‘People – Oriented’ (Berorientasikan Masyarakat) dalam memberi khidmat terbaik kepada masyarakat.

Beliau berkata, konsep itu perlu ditambah dengan 3P lain yang mempunyai elemen manusia yang penting iaitu ‘Personnel’ (Anggota ataupun Pegawai polis), ‘Personal Interaction’ (Interaksi personal) dan Professionalis (Profesionalisme).

Tun Hisan meminta semua ketua jabatan, ketua-ketua polis, para pegawai penyelia mempertingkatkan pemantauan ke atas pegawai dan anggota di bawah seliaan mereka dengan mengamalkan budaya kepimpinan yang memberi perhatian kepada kesejahteraan anggota bawahan.

“Latihan secara berpasukan di kalangan pegawai pentadbir yang bekerja dalam organisasi polis juga penting bagi mempelajari cara-cara mengendalikan sesuatu aduan secara efektif daripada pengadu,” katanya yang akan member keutamaan adalah usaha menurunkan kadar jenayah di Selangor.

Bernama

Tiada ulasan: