Rabu, 10 November 2010

Kes Pisau Lipat 20 Sen Ditangguh 9 Mac 2011

Oleh Suara Keadilan

FMKUALA KUBU BHARU - Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu menangguhkan perbicaraan kes pisau lipat 20 sen terhadap Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Fariz Musa dan empat anggota AMK sehingga 9 Mac tahun depan.

Fariz ketika dihubungi berkata tindakan melengah-lengahkan kes tersebut sebagai satu bentuk tekanan politik di mana saksi pendakwaraya iaitu pihak polis tidak dapat hadir memberikan keterangan.

"Kes ini sepatutnya dibuang daripada terus dibicarakan. Tindakan ini sengaja bagi menyusahkan kami untuk datang ke sini bagi menghadiri perbicaraan di sini.

"Ini kerana kebanyakkan yang dituduh adalah berasal daripada Pahang dan Terengganu dan ditambah dengan kos peguam yang dibayar setiap seorang setiap kali hadir ke perbicaraan," kata beliau semalam.

Sebelum itu, Hakim Zuraidah Zakaria pada 28 Julai lepas, menangguhkan kes dan menetapkan hari ini bagi meneruskan perbicaraan.

Penangguhan ketika itu dibuat selepas hakim mendapati ketiadaan kertas penyiasatan (IP) daripada pihak pendakwa raya.

Fariz dan empat anggota AMK ditahan 21 April lalu ketika kempen pilihah raya kecil Hulu Selangor atas dakwaan di bawah Akta Kanun Keseksaan Seksyen 426, kerana memiliki senjata berbahaya dan bahan letupan.

Mereka dituduh memiliki beberapa keping pisau lipat yang dipercayai digunakan untuk menurunkan kain rentang Barisan Nasional yang dianggap perbuatan provokasi semasa kempen PRK Hulu Selangor.

Tiada ulasan: