Selasa, 16 November 2010

Kerugian Sime Darby, tindakan Disember ini

MALAYSIA KINI


Sime Darby akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang cuai dan bersalah sehingga menyebabkan bahagian tenaga dan utiliti, syarikat berkenaan kerugian besar, kata pengerusinya Tun Musa Hitam.

Katanya, beliau menjangkakan tindakan undang-undang itu akan bermula sebelum hujung tahun ini.

Musa berkata berdasarkan laporan audit forensik yang dikemukakan pada 14 September lalu, beberapa individu telah dikenalpasti cuai dan akan didakwa.

Laporan berkenaan telah dipertimbangkan oleh lembaga pengarah Sime Darby pada 20 September dan salinannya telah diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Sekuriti. Kedua-dua badan itu juga telah memulakan siasatan mereka.

"Oleh kerana siasatan yang sedang berlangsung, maka buat masa ini, seperti yang dinasihatkan oleh peguam, kami terpaksa merahsiakan segala butiran laporan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu diedarkan kepada wartawan yang sedang menunggu mesyuarat agung Sime Darby yang bermula pada jam 10.30 pagi berakhir.

Sime Darby mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM1.7 bilion daripada Bahagian Tenaga dan Utiliti akibat lebihan kos daripada projek Qatar dan Empangan Bakun.

Semasa mengumumkan kerugian pada Mei lalu itu, Sime Darby turut mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulannya, Datuk Seri Zubir Murshid, supaya bercuti sebelum beliau kemudiannya digantikan.

Beliau kemudiannya digantikan oleh bekas pengarah Felda Holdings Datuk Mohd Bakke Salleh dalam usaha menstabilkan syarikat berkenaan.

Jun lalu, syarikat berkaitan kerajaan itu mengalami kerugian bagi suku pertamanya sebanyak RM309 juta.

Tiada ulasan: