Khamis, 4 November 2010

Kerajaan Selangor dakwa Syabas punca lebih 100,00 tidak dapat air percuma

BERNAMA

SHAH ALAM — Kerajaan Selangor hari ini mendakwa Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) menjadi punca lebih 100,000 penduduk di 18,440 unit pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tidak dapat menikmati pemberian bekalan 20 meter padu air percuma setiap bulan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata Syabas enggan membenarkan penduduk menukar meter pukal kepada meter individu secara berperingkat-peringkat.

“Syabas mahu seratus peratus iaitu kesemua 18,840 unit pangsapuri PKNS itu menukar meter pukal (serentak) kepada meter individu.

“Sedangkan lebih 10 peratus pemilik pangsapuri PKNS itu gagal dikesan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco Negeri di sini.

Beliau berkata Kerajaan Selangor melalui PKNS memutuskan untuk bertanggungjawab terhadap meter individu pada pangsapuri yang pemiliknya tidak dapat dikesan.

Namun, Iskandar mendakwa Syabas tidak bersetuju dengan langkah itu.

Katanya, pemberian air percuma itu hanya boleh diberikan kepada penghuni yang menggunakan meter individu.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya telah meminta Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor supaya berbincang dengan Syabas dan meminta mereka bersetuju dengan cadangan yang dibuat melalui PKNS itu.

“Kita amat berharap supaya Syabas bersetuju dengan cadangan itu demi kepentingan rakyat negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi Selangor Rodziah Ismail berkata kerajaan negeri telah bersetuju melancarkan Skim Kesihatan Wanita bagi menentukan 1 juta wanita Selangor sihat.

Beliau berkata skim itu diperuntukkan kepada wanita berusia 35 tahun ke atas dan mereka yang berdepan penyakit berisiko tinggi boleh mendapatkan borang untuk pemeriksaan kesihatan percuma di pusat rawatan terpilih.

“Pemeriksaan itu merangkumi penyakit berbahaya yang sering menyerang wanita seperti barah,” katanya.

Tiada ulasan: