Sabtu, 6 November 2010

Kepimpinan Koh jadi tumpuan pada persidangan perwakilan Gerakan

BERNAMA


KUALA LUMPUR— Persidangan perwakilan nasional parti Gerakan bermula di sini esok dijangka hangat berikutan rantaian peristiwa yang melanda parti itu sepanjang tahun ini.

Presiden parti Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, yang menerima tekanan terhadap corak kepimpinannya, mungkin terpaksa mendengar lebih banyak kritikan daripada perwakilan.

Koh (gambar), yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, kemungkinan akan dipersoalkan berhubung beberapa perkara yang berkisar dengan pendirian parti itu dalam Barisan Nasional (BN).

Misalnya, perwakilan besar kemungkinan menyoal mengenai langkah Gerakan menyerahkan jawatan tradisi sebagai pengerusi kepimpinan BN di kawasan Parlimen Batu di Wilayah Persekutuan kepada Umno.

Beberapa perwakilan menyatakan mereka menjangka isu-isu berkaitan ketokohan dan corak kepimpinan akan dibangkitkan khususnya selepas kesuntukan masa bagi meredakan tekanan di kalangan anggota penting dalam parti.

Ini berikutan pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan berjaya melepasi tindakan membuang undi tidak percaya terhadapnya pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) parti di negeri itu bulan lepas.

Pada masa yang sama, bekas presiden dan penasihat Gerakan, Tun Dr Lim Keng Yaik melepaskan jawatannya kerana kecewa dengan kepimpinan Koh.

Walaupun pemimpin peringkat pusat dianggap menyelesaikan isu tersebut namum ramai di peringkat akar umbi tidak memikirkan sebegitu, menurut beberapa perwakilan yang ditemubual.

Seorang sumber dalaman parti menjangka wujud “suara-suara penentang kuat” pada persidangan yang bakal dihadiri oleh 2,100 perwakilan.

“Kepimpinan Koh sudah pasti menjadi topik perbincangan,” katanya.

“Bagi Gerakan supaya dapat terus bertahan untuk pilihan raya umum akan datang, kita perlu kepimpinan yang lebih mantap dan bersuara lantang. Gerakan perlu memainkan peranan lebih signifikan dalam arena politik negara,” katanya.

Seorang perwakilan berpendapat bahawa Koh memberi banyak tumpuan kepada tugas sebagai menteri dan tidak meluangkan masa secukup untuk hal ehwal parti itu.

Timbalan Ketua Pemuda Oh Tong Keong berkata ahli parti mengakui Koh mempunyai gaya kepimpinan yang berbeza daripada pemimpin terdahulunya.

Bagaimanapun, katanya, mereka inginkan Koh supaya lebih tegas dan mendesak dalam menyatakan pendirian parti di arena politik negara.

Naib Presiden Senator A. Kohilan Pillay berpendapat kepimpinan Koh bukan merupakan isu besar.

Menurutnya Koh bekerja keras untuk membina semula moral dan imej parti tanpa mewar-warkan usahanya itu.

“Sudah pasti ada sebilangan yang tidak puas hati. Mereka berhak menggunakan persidangan ini untuk menyuarakan kebimbangan mengenai apa yang berlaku dalam parti.

“Ini adalah perkara biasa dan berlaku dalam mana-mana parti,” jelasnya.

Tiada ulasan: