Selasa, 2 November 2010

Kempen Galas kembali segar, BN dan PAS susun strategi akhir


GUA MUSANG- Parti-parti yang bersaing pada pilihan raya kecil kerusi DUN Galas mula mempertingkatkan strategi masing-masing untuk meraih sokongan sepanjang 48 jam akan datang sebelum kempen melabuh tirai tengah malam esok.

Kerusi DUN Galas menyaksikan pertarungan satu lawan satu di mana Barisan Nasional (BN) meletakkan Setiausaha Umno Gua Musang Abdul Aziz Yusoff manakala PAS, yang mewakili Pakatan Rakyat, meletakkan pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang Dr Zulkefli Mohamad.

Kerusi DUN itu kosong ekoran kematian penyandangnya Che Hashim Sulaima dari PAS akibat barah usus pada 27 September lepas.

Walaupun suasana pilihan raya kecil DUN Galas agak suram sepanjang minggu lalu, namun dua hari terakhir ini mungkin kedua-dua parti ini akan melakukan perubahan yang drastik dalam usaha menarik sokongan pengundi.

Pengarah Pilihan Raya BN, Tengku Razaleigh Hamzah ketika ditemui malam tadi berkata parti itu akan meningkatkan kempen pilihan raya dalam tempoh sehingga pilihan raya pada Khamis ini.

“Sudah tentu kita akan tingkatkan kempen kita,” kata beliau.

Beliau juga berkata pengundi Cina kini sudah berubah arah dengan menyokong BN.

“Saya lihat perubahan (undi Cina) kepad BN. Kalau dibanding dengan 2008 saya lihat sudah ada perubahan.

“Apa yang berlaku pada 2008 adalah tsunami politik, tidak boleh diambil kira. Tsunami yang berlaku bukan hanya di Galas tapi saya menang, tapi sekarang sudah berubah,” katanya.

Tengku Razaleigh yang mesra dengan panggilan “Ku Li” berkata, sepanjang kempen pilihan raya beliau akan cuba untuk “bermesra” dengan pengundi Cina.

“Kita akan cuba bermesra dengan pengundi Cina, lagipun bukan mereka tidak kenal saya.

“Kita akan bertentang mata dengan mereka, hati ke hati. Kalau dulu mereka percaya saya sekarang pun mereka percaya,” katanya.

Terlebih dahulu, dalam ucapannya ketika melawat masyarakat Tionghoa di Kampung Baru Gua Musang, veteran Umno ini berkata, beliau tetap “orang sama” yang dikenali pengundi.

“Saya nak ucapkan terima kasih kerana telah sokong saya bukan hanya pada hari ini, semalam tapi sudah hampir 40 tahun.

“Ku Li dulu, Ku Li sekarang serupa, kita tak pernah cakap bohong. Kalau cakap nak bikin hospital kita bikin, kalau cakap nak bikin rumah murah kita bikin.

“Ini semua BN mahu tolong kerana anda semua telah tolong saya. Ini adalah balasan kepada rakyat, kita nak beli undi, ini projek (perumahan rakyat) sudah satu tahun lebih, tidak ada kena-mengena dengan pilihan raya (kecil) pun,” katanya.

Justeru Ahli Parlimen Gua Musang itu meminta supaya pengundi memilih BN.

“Sekarang saya nak anda undi saya punya parti. Kita bikin (projek) bukan kerana pilihan raya (kecil) tapi nak balas undi anda.

“Saya jadi wakil rakyat paling lama dalam Parlimen, Lim Kit Siang, Karpal Singh pun tidak lama macam saya,” katanya.

Tengku Razaleigh juga menyalahkan kerajaan negeri Kelantan sebagai punca pembangunan Gua Musang tidak berkembang.

“Kita mahu Gua Musang berkembang, ada kilang, ada industri, ada kerja.

“Tapi tidak boleh kerana PAS yang berkuasa di sini. Kerja tiada, anak muda pun tiada, semua sudah keluar. Kita tidak mahu Gua Musang jadi ‘bandar hantu’,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan Abdul Fatah Harun berkata, parti itu juga akan meningkatkan kempen pilihan raya mereka.

“Mesti kita akan tingkatkan (kempen), kita akan berkempen dari rumah ke rumah, dialog dan ceramah yang kita buat setiap malam di peti-peti undi kita.

“Kita juga akan gerakkan jentera dari pagi hingga ke malam untuk memberikan penjelasan kepada pengundi-pengundi.

“Malah dalam ceramah yang akan diadakan kita turut menampil pemimpin-pemimpin PAS untuk menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Tambahnya, apa yang penting sekarang adalah memberikan penjelasan kepada pengundi-pengundi tentang calon PAS dan juga beberapa isu yang berkaitan.

“Kita akan jelaskan kepada pengundi kenapa mereka perlu pilih calon kita (Zulkefli).

“Ini yang penting yang mana kita beritahu bahawa calon kita akan menjadi perhubung antara kerajaan negeri dan rakyat Gua Musang,” katanya.

Seramai 11,553 pengundi layak untuk mengundi dalam pilihan raya kecil kali ini iaitu Melayu 7,125 orang atau 61.7 peratus, kaum Cina 2,317 atau 20.06 peratus, India 185, Bumiputera Siam 10 orang dan Orang Asli 1,889 orang.

Tiada ulasan: