Selasa, 2 November 2010

Kelantan akan gazet kawasan Orang Asli

GUA MUSANG – Menjelang hari pengundian pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas Khamis ini, Kelantan mengumumkan akan menggazetkan semua kawasan didiami Orang Asli di negeri itu dalam masa terdekat.

Menurut Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yaakob, keputusan itu telah dibuat dalam mesyuarat kerajaan negeri pada Mac lalu.

“Kita sudah buat keputusan dan kelulusan untuk menggazetkan kawasan Orang Asli ini mengikut Seksyen 62 Kanun Tanah Negara.

“Sekarang kerajaan negeri dengan kerjasama Pejabat Tanah sedang meneliti kawasan-kawasan yang diduduki Orang Asli.

“Proses sudah berjalan, ia ambil masa kerana kita kena sukat dulu keluasan kawasan itu sebelum digazetkan,” kata beliau ketika ditemui selepas mesyuarat khas Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan di Bandar Baru Lojing di sini.

Ahmad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Pembangunan Tanah dan Wilayah berkata selepas kawasan Orang Asli itu digazetkan tiada pembangunan luar yang boleh dilakukan di situ.

“Bila sudah digazetkan hanya Orang Asli sahaja yang boleh buat pembangunan di kawasan itu, orang luar tidak boleh.

“Dalam proses ini, kita tidak mempunyai sebarang masalah. Sebelum kawasan itu digazetkan kita akan berikan surat akuan daripada kerajaan negeri.

“Setiap tanah yang digazetkan bergantung kepada keluasan kawasan tersebut, kemudian selepas digazetkan, kita akan beri setiap dua ekar kepada penduduk,” katanya.

Sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan PAS Kelantan tidak memperjuangkan masyarakat Orang Asli yang menghadapi masalah hak milik serta pencerobohan tanah di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri Galas di sini.

Timbalan Perdana Menteri berkata masalah tanah termasuk yang berhubung kait dengan pampasan dan pencerobohan sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan negeri.

“Baik isu pengambilan tanah tidak dibayar pampasan, yang ada hubung kait dengan (projek) Ladang Rakyat (yang dimajukan oleh kerajaan Kelantan), (dan) pencerobohan oleh pihak-pihak pengusaha (kebun) yang semakin berleluasa sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan PAS kerana ia di bawah bidang kuasa mereka,” katanya.

Isu tanah Orang Asli sebelum ini menjadi perbalahan antara PAS dan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dalam kempen pilihan raya kecil DUN Galas yang mana PAS menuduh beliau mengkhianati Orang Asli di negeri ini.

Namun Tengku Razaleigh menafikannya dan berkata bahawa beliau melarikan fail-fail mengandungi permohonan tanah golongan itu semasa membawa Semangat 46 keluar dari Angkatan Perpaduan Umah dan menyertai Umno adalah tidak benar sama sekali dan fail yang dikatakan itu juga sebenarnya tidak wujud.

“Benda ni tak betul... saya pun hairan mengapa orang yang mewakili parti Islam membuat pembohongan semacam itu,” katanya.

DUN Galas mempunyai 1,889 pengundi Orang Asli iaitu di Pos Balar, Pos Hendrop, Pos Bihai, Pos Hau dan Pos Brooke.

Tiada ulasan: