Ahad, 21 November 2010

Kedah pantau GLC, nafi ‘sakit tenat’

Harakahdaily

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak memberitahu akan mengkaji fungsi semua GLC negeri itu dan memantau lebih ketat khususnya aspek kewangan dan pentadbiran.

Menurutnya, beliau tidak menolak dakwaan ada GLC yang berjaya, gagal atau baru bermula, bagaimanapun menafikan dakwaan beberapa GLC sakit tenat dan mengalami kerugian kerana terlalu banyak GLC diwujudkan.

“Setakat ini tiada GLC yang sakit tenat masalah yang berlaku adalah perkara biasa yang boleh diatasi dan terkawal,” lapor web Warta Kedah.

Beliau berkata demikian ketika menggulung jawapan pada Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah, baru-baru ini.

Tambahnya lagi, kebanyakan masalah yang berlaku di dalam GLC berkenaan adalah yang ditinggalkan oleh pihak pengurusan sebelum yang ditadbir oleh kerajaan dahulu.

Beliau juga akur dengan teguran Adun pembangkang yang mempertikaikan kewujudan GLC yang bertujuan memperkasakan GLC bagi menjana ekonomi negeri Kedah.

Untuk tujuan itu dua lagi syarikat GLC diberi hak meneroka industri kuari dan perlombongan untuk meningkatkan hasil kepada kerajaan negeri Kedah.

Permodalan Kedah Berhad (PKB) adalah tambahan kepada GLC sedia ada iaitu Yiked Holding Sdn Bhd yang sebelum ini diberi tanggungjawab penuh dalam industri kuari.

Menurutnya, mesyuarat Exco baru-baru ini telah memutuskan supaya tambah dua lagi GLC yang akan terlibat dalam industri kuari dan perlombongan menjadikan tiga GLC terbabit berkerjasama atau teroka pasaran baru bagi meningkatkan hasil dalam bidang pertanian.

“Mana-mana syarikat yang berminat boleh mengemukakan cadangan kepada tiga GLC ini dan usaha sedang dipertingkatkan supaya sektor berkenaan terus berkembang dan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri Kedah.

“Banyak juga yang kita beri kelulusan sebelum ini tetapi tidak mampu uruskan, saya yakin dengan pertambahan GLC berkenaan sektor ini boleh berkembang seterusnnya meningkatkan pendapatan negeri Kedah,” katanya.

Ujarnya lagi, antara GLC yang akan dibuat pengstrukturan semula ialah Kedah Agro Holding yang mempunyai enam anak syarikat di dalamnya.

Mengulas mengenai Kolej Universiti Insaniah yang dikritik kerana mempunyai anak syarikat yang banyak, katanya, ianya perlu disesuaikan dengan keperluan semasa.

Menurutnya, kos perbelanjaan sesebuah univeristi amat tinggi mencecah berbilion ringgit dan kerajaan sekarang tidak lagi membina universiti sebaliknya pihak swasta yang mengambil alih.

“Kita hanya pantau operasi universiti supaya tidak tersasar daripada dasar dan kos sebenarnya,” katanya.

Tiada ulasan: