Khamis, 4 November 2010

Kebakaran HQ PAS hanya melibatkan pantri


agung_bakar2

Oleh Jamilah Kamaludin

PETALING JAYA: Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut Kuala Lumpur mengalami kebakaran kecil di bahagian pantri di tingkat 1 selepas berlaku litar pintas kira-kira 8.30 pagi tadi.

Kebakaran itu dikatakan berpunca daripada kegagalan fungsi cerek elektrik lama di pantri tersebut sehingga meletup dan tercetusnya kebakaran kecil di bahagian itu.

"Cerek itu meletup dan merosakkan kabel utama sehingga menyebabkan berlakunya litar pintas serta kegagalan talian telefon dan sistem yang lain di seluruh bangunan," kata pegawai khas Setiausaha Agung PAS Mohd Khairol Anwar Mat Zuki kepada FMT.

Beliau berkata keadaan pejabat bahagian pentadbiran di tingkat 1 itu yang berhawa dingin dan tingkap yang tertutup menyukarkan laluan udara sehingga menyebabkan asap terkumpul menjadi tebal.

"Tingkap berada di bilik pejabat pegawai pentadbir tapi berkunci kerana ramai sudah pergi bertugas di Galas," katanya.

Namun tindakan pantas kakitangan pejabat melaporkan kebakaran itu berjaya ditangani pihak Bomba dan Penyelamat Chow Kit setengah jam kemudian tanpa merebak ke bahagian lain.

Semua dokumen terselamat

"Hanya bahagian pantri sahaja yang terjejas, bahagian lain, peralatan serta dokumen pejabat semuanya terselamat," katanya.

Ketika kejadian katanya, hanya lapan kakitangan yang terdiri daripada kerani pejabat sahaja ada di bangunan tersebut dan semuanya berada dalam keadaan selamat, manakala yang lain bertugas untuk pilihan raya kecil di Galas.

Mohd Khairol bagaimanapun menafikan wujudnya sebarang unsur sabotaj daripada pihak tertentu yang menyebabkan kebakaran itu sambil menegaskan ia hanya satu insiden yang tidak mampu dielakkan.

Beliau berkata pihaknya sehingga kini masih lagi menunggu laporan penuh daripada pegawai Bomba dan Penyelamat Sentul tentang insiden itu serta jumlah kerugian yang dialami.

Tiada ulasan: