Ahad, 14 November 2010

Kabinet ambil langkah konkrit tarik bukan Melayu sertai ATM: Koh

BERNAMA

SEPANG – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata kabinet telah memutuskan untuk mengambil langkah-langkah konkrit bagi menggalakkan penyertaan bukan Melayu di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Keputusan kabinet semalam adalah untuk mengambil langkah-langkah konkrit bagi menggalakkan kaum India dan Cina yang sekarang sangat rendah penyertaannya di dalam ATM,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Kem Padu Anak 1Malaysia 2010 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

“Ia merupakan satu langkah yang positif,” katanya tanpa mengulas lebih lanjut tentang langkah-langkah yang akan diambil.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Rakyat pada Selasa yang dilihat oleh sesetengah pihak seolah-olah menggambarkan “bukan Melayu tidak ramai menyertai tentera kerana kurang semangat patriotik”.

Dilaporkan baru-baru ini, daripada 9,054 yang menyertai ATM tahun lalu, 8,151 atau 90 peratus daripadanya adalah Melayu, Cina (26) dan India (82), manakala 795 lagi adalah kaum lain yang meliputi kaum pribumi Sabah dan Sarawak.

Dr Koh berkata usaha untuk menarik minat bukan Melayu menyertai ATM harus dilaksanakan dan meminta semua pihak agar tidak menjadikan isu kurang penyertaan ini sebagai satu polemik.

“Seperti Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) katakan, kita jangan terus dengan polemik. Jika kita teruskan apa pun tidak akan berhasil,” katanya.

Menurut Dr Koh, isu itu ingin dibahaskan ketika mesyuarat kabinet tetapi dihentikan oleh Perdana Menteri yang mahu idea yang lebih bermanfaat dihasilkan.

Tiada ulasan: