Ahad, 14 November 2010

Jenayah terhadap kanak-kanak membimbangkan

BERNAMA


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini melahirkan rasa bimbang dengan kemunculan banyak kes-kes penderaan, penganiayaan, jenayah seksual serta sumbang mahram terhadap kanak-kanak.

Beliau berkata berkata banyak kes yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat termasuk kes dera, dilakukan oleh ibu bapa dan penjaga kanak-kanak itu sendiri, sedangkan merekalah yang sepatutnya memberi perlindungan.

Katanya statitistik kes yang membabitkan ibu bapa mencatatkan jumlah 808 kes, adik beradik (23 kes), teman lelaki ibu (270), jiran (26), saudara mara (322), orang dikenali (231), manakala pendera tidak dikenali sebanyak 110 kes.

"Sebanyak 1,010 kes penderaan dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga April meliputi kes penderaan fizikal, seksual, emosi, sumbang mahram dan buang bayi.

"Kes-kes ini terus meningkat dari 2,279 pada 2007 kepada 2,780 (2008), dan 2,789 pada 2009," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia 2010 yang mengambil tema "Keselamatan Kanak-kanak di Tangan Kita: Bertindaklah!" di Petaling Jaya hari ini.

Shahrizat berkata kerajaan membuat pelbagai dasar untuk melindungi kanak-kanak, seperti Dasar Perlindungan Kanak-kanak, Dasar Kanak-kanak Negara, Akta Kanak-Kanak 2001, tetapi ia tidak akan menjadi kenyataan sekiranya tiada pembabitan semua pihak menjayakannya.

Sementara itu selaras dengan sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia 2010, pihak kementerian mengambil inisiatif mewujudkan talian kanak-kanak Childline dengan menggunakan talian 15999.

Beliau berkata talian itu disatukan dengan talian Annur yang sudah wujud sebelum ini dengan mempunyai nombor yang sama supaya ia lebih senang diingati serta praktikal, dan ia beroperasi 24 jam sehari sepanjang tahun.

Shahrizat berkata Malaysia adalah satu daripada 130 negara di dunia yang mempunyai talian sedemikian yang dibangunkan dengan kerjasama projek Childline Malaysia (CLM) selain 20 pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat swasta.

Beliau berkata daripada 203 negara di dunia, 165 negara sudah mempunyai talian khusus untuk kanak-kanak.

Tema pelancaran Childline ialah "Keselamatan Kanak-Kanak di Tangan Anda. Kita semua Bertanggungjawab" dan ia diwujudkan dengan kerjasama 20 pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat swasta.

Tiada ulasan: