Khamis, 4 November 2010

Isu tuduhan sodomi terhadap Anwar selalu dibangkitkan – Clinton

FREE MALAYSIA TODAY

539wPUTRAJAYA: Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Clinton berkata rakyat Amerika selalu membangkitkan isu tuduhan sodomi terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Rakyat Amerika selalu membangkitkan isu kontroversial ini dan akan terus memantau kes ini dari dekat," kata beliau pada sidang media bersama Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman di sini semalam.

Ketika disoal sama ada beliau membangkitkan isu Anwar ini dalam perbincangan dua hala dengan kerajaan Malaysia, Clinton menjawab, "saya sudah membangkitkan hal ini dan akan terus membangkitkan hal ini. Ini merupakan sebahagian dari dialog yang berterusan."

"Amerika Syarikat percaya ianya penting dari segenap aspek kes ini dikendalikan secara telus dan adil dan satu cara untuk meningkatkan keyakinan terhadap peraturan undang-undang di negara ini.

Ujar beliau, "kedutaan kami mengekalkan hubungan baik dengan kerajaan yang memerintah dan juga pihak Pembangkang sebagai peserta-peserta dalam proses demokrasi di Malaysia.

"Kami akan terus menyokong kemajuan Malaysia dalam memperkukuhkan institusi demokrasi dan peraturan undang-undang," katanya.

Clinton dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kemudiannya menyaksikan perjanjian kerjasama dan pelesenan di antara Academic Medical Centre Sdn Bhd dan Johns Hopkins University dan John Hopkins Medicine International.

Mereka juga menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman di antara Sistem Penerbangan Malaysia dengan pengeluar pesawat enjin Amerika, Pratt & Whitney.

Tiada ulasan: