Ahad, 14 November 2010

Isu murtad: Jangan serang Pakatan tapi lihat isu pokok, kata Pemuda PAS

KUALA LUMPUR— Dewan Pemuda PAS menggesa mana-mana parti politik tidak cuba mempersalahkan kerjasama komponen Pakatan Rakyat (PR) dalam kontroversi status agama bapa seorang kanak-kanak yang dirotan kerana membawa makanan berlaukkan sosej babi ke sekolah bulan lalu.

Sebaliknya, parti itu berpendapat isu tersebut perlu dilihat secara lebih luas termasuk soal aspek bimbingan dan kemudahan kaunseling kepada mereka yang menganut agama Islam dan kemudian Islam di Sarawak.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Suhaizan Kayat berkata, adalah tidak wajar mempersalahkan kerjasama parti itu dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP apabila membicarakan isu bapa kanak-kanak berkenaan didakwa murtad kira-kira sedekad lalu.

“Jangan menuding jari dan cuba mempersalahkan kami. Tindakan mempersalahkan parti-parti politik tidak akan membawa apa-apa manfaat. Kita salahkan PAS, PAS salahkan Umno dan sebagainya... ini tiada kesudahan.

“Tetapi apa yang lebih penting ialah mencari jalan penyelesaian mengapa isu itu berlaku, kita kena mencari soal fundamental iaitu penerangan dan bimbingan kepada mereka yang menganut agama... di Sabah dan Sarawak kurang kemudahan ini, Jabatan Agama (Islam) kena mengatasi perkara ini, bukannya saling tuduh-menuduh parti-parti politik,” katanya.

“Ini normal di Sabah dan Sarawak kerana tiada kefahaman, soal ini kena dibetulkan dengan memberikan pendidikan,” katanya.

Kata Suhaizan, jika PAS dan PKR dijadikan mangsa dalam kononnya mempertahankan individu yang murtad, pihaknya juga ingin bertanya apa yang dilakukan oleh parti pemerintah Barisan Nasional (BN) di Sarawak selama ini.

“Saya nak tanya apa yang dilakukan oleh BN yang diketuai oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, yang Umno juga merupakan komponen dalam BN,” kata beliau.

“Jadi jangan cuba hendak mempersalahkan kami (PAS dan Pakatan Rakyat) dalam hal ini,” kata beliau.

PAS dijangka membuat pendirian mengenai isu ini esok apabila mengadakan mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja pusat esok.

Kata Suhaizan, Dewan Pemuda PAS yang mengadakan mesyuarat bulanan hari ini juga kemungkinan membangkitkan perkara tersebut.

“Kita akan lihat sebagai perkara berbangkit,” kata beliau.

Pendirian PAS dibangkitkan oleh beberapa ahli politik dan juga blog — yang mempersoalkan pendirian kerjasama komponen Pakatan Rakyat itu.

Pada Rabu lalu, kerajaan telah mengarahkan bahagian penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menyiasat status agama bapa seorang kanak-kanak terbabit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata, selepas mengenal pasti status Beginda Anak Minda atau Noor Azman Abdullah, siasatan boleh dijalankan terhadap dakwaan anaknya Basil Anak Beginda dirotan guru akibat kejadian itu.

Katanya, status agama Beginda perlu disiasat kerana mengikut keputusan muzakarah Fatwa Kebangsaan apabila salah seorang ibu atau bapa beragama Islam, maka anak itu beragama Islam.

“Selepas itu (baru) boleh sampai kepada kesimpulan apa juga keputusan tentang itu boleh tentukan kepada kenapa budak ini dirotan,” katanya di Dewan Rakyat.

Minggu lalu, seorang ibu, Angela anak Jabing membuat aduan bersama sayap wanita PKR kepada Jabatan Pelajaran Sarawak dengan mendakwa anaknya berusia 10 tahun dirotan penolong kanan sebuah sekolah di Sarawak kerana membawa nasi goreng berlaukkan sosej babi ke sekolah.

Persidangan Dewan Rakyat Rabu lalu juga hangat apabila Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim-Bandar Baharu) yang berbahas membangkitkan isu berkenaan dan mempersoal pendirian PAS berhubung perkara terbabit.

Kekecohan itu berlarutan sehingga mengakibatkan Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) diarah keluar dewan sehingga Timbalan Speaker Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyambung persidangan dewan pada sebelah petang, kerana berterusan mencelah ketika Zulkifli berbahas, walaupun diarah untuk tidak berbuat demikian beberapa kali.

Dzulkefly berterusan menyalahkan Zulkifli kerana membawa isu itu ke dalam dewan dan menyatakan ia tidak sesuai dibincangkan berikutan masa yang diperuntukkan kepada Ahli Parlimen untuk berbahas sangat singkat iaitu 10 minit.

Rentetan daripada itu, Zulkifli kemudian membalas dengan bertanya: “Adakah kamu (Dzulkefly) sokong anak seorang Islam bawa babi ke sekolah?”

Beginda, yang pernah bertanding pada pilihan raya 1999 dan 2001 atas tiket PKR menggunakan nama Islam juga mengakui bahawa dia bukan lagi beragama Islam.

“Saya akui, saya pernah memeluk Islam sebelum ini. Tetapi pada 1999, saya sudah tukar agama. Sekarang saya bukan Islam,” kata Beginda dipetik akhbar kelmarin.

Namun menurut Beginda, anaknya itu bukan beragama Islam.

Beginda berkata pada tahun 2004, apabila dia memohon MyKad, beliau telah menukar namanya semula kepada Beginda Anak Minda.

Anaknya dilahirkan pada 8 Mei 2000.

Pada sijil kelahirannya, tiada agama dicatatkan untuk Beginda.

Semalam, Zulkifli menggesa Kementerian Dalam Negeri supaya menyiasat kemungkinan bapa kanak-kanak yang dirotan itu mempunyai dua identiti.

Dalam tulisan terbaru bertajuk “Ahli PKR murtad?” di blognya, Zulkifli menggesa “apakah pendirian kepimpinan dan ahli akar umbi PKR dengan status murtad Nor Azman Abdullah? dan apakah pendirian kepimpinan dan ahli PAS dengan murtadnya Nor Azman Abdullah ini, apakah mereka meredha?”

Tiada ulasan: