Selasa, 30 November 2010

Ibrahim: Saya aktif balik awal 2011, harap dipanjang umur 25 tahun lagi


KUALA LUMPUR— Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali yang kontroversial, yang mengisi ruang media tanpa putus-putus sejak dua tahun lalu, berharap akan dipanjangkan umur 25 tahun lagi bagi membolehkan beliau terus memperjuangkan kepentingan rakyat Malaysia khususnya orang Melayu.

Menjawab soalan pelbagai pihak seolah-olah beliau ‘senyap’ dari arena politik, Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas ini berkata beliau sedang berehat tiga bulan selepas menjalani pembedahan jantung pertengahan 18 Oktober lalu.

Ibrahim menjadi tumpuan pelbagai pihak termasuk pemimpin Barisan Nasional (BN) dan juga Pakatan Rakyat (PR) kerana menggunakan platform Perkasa dan Majlis Perundingan Melayu (MPM) untuk membawa isu-isu menyentuh kepentingan orang Melayu.

Beberapa pemimpin BN mendakwa tindakan Perkasa dan MPM yang dilihat keterlaluan akan menjejaskan sokongan kepada perikatan itu dalam pilihan raya.

Ibrahim, 57, berkata beliau akan kembali aktif awal tahun depan, dijangka bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Dalam sebulan lagi, saya boleh keluar semula untuk meneruskan perjuangan saya dengan aktif dan lebih berani... insya-Allah, Tok Him (Ibrahim) akan hidup 25 tahun lagi untuk mengambil berat dan menjaga kepentingan kaum Bumiputera, rakyat Malaysia dan keselamatan negara,” kata beliau dalam respons SMS dihantar kepada The Malaysian Insider.

Pada pilihan raya umum 2008, Ibrahim bertanding di Pasir Mas atas tiket PAS dan kemudian mengisytiharkan sebagai wakil rakyat Bebas.

Selain sebagai pemimpin belia beliau pernah menganggotai Umno dan Parti Melayu Semangat 46 (S46).

Selepas perubahan landskap politik pada 2008, Ibrahim menubuhkan Perkasa dan awal tahun ini memimpin penubuhan MPM.

Ibrahim berkata beliau mahu rehat sepenuhnya susulan pembedahan yang dijalani 18 Oktober lalu memandangkan tidak pernah berehat sepanjang tiga dekad lalu.

“Saya mahu rehat sepenuhnya. Selepas 35 tahun aktif, sejak menjadi pemimpin pelajar pada 1972 dan menyertai politik, ini kali pertama betul-betul saya berehat.

“Doktor minta saya rehat selama tiga bulan untuk pulih sepenuhnya. Sekarang sudah enam minggu,” kata Ibrahim sambil berkata, beliau semakin sihat dan sudah kurang lapan kilogram.

Kata Ibrahim lagi, beliau melihat pembedahan jantung yang dilalui itu sebagai satu rahmat kepada dirinya.

“Terima kasih kepada Tuhan... jika tidak saya seperti sebuah kereta, bergerak tanpa henti, tanpa servis,” katanya lagi.

Tiada ulasan: