Selasa, 16 November 2010

Husam nafi laporan Bernama PAS sedia terima Zaid

THE MALAYSIAN INSIDER


KUALA LUMPUR — Datuk Husam Musa menafikan beliau ada mengatakan bahawa PAS sedia menerima sesiapa sahaja termasuk Datuk Zaid Ibrahim, yang memutuskan untuk keluar PKR, sebagaimana dilaporkan oleh Bernama semalam.

Kata Husam, apa yang dilaporkan oleh Bernama kononnya memetik beliau, selaku ahli jawatankuasasa kerja PAS pusat, adalah tidak benar dan rekaan semata-mata.

“Apa yang dilaporkan Bernama yang kononnya dipetik daripada kenyataan saya semalam adalah tidak benar dan direka-reka.

“Saya amat kesal dengan laporan itu dan mendesak Bernama menarik balik berita yang dikeluarkan itu,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan tengah hari ini.

“Saya merujuk kepada laporan Bernama bertajuk ‘Husam: PAS terbuka terima sesiapa, termasuk Zaid’ dan akhbar lain yang menggunakan laporan yang sama,” kata Husam (gambar).

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan berkata, kebelakangan ini Bernama atas kapasitinya sebagai agensi berita rasmi negara telah membuat laporan “rasmi” untuk kegunaan media lain seolah-olah laporannya adalah betul dan rasmi sedangkan isinya adalah rekaan dan tidak benar.

Tiada ulasan: