Ahad, 21 November 2010

Hukuman Ke Atas Gadis Malaysia Dikurangkan Kepada 12 Tahun Penjara

KELAB GREENBOC

Pasir Puteh: “Jika benar hukuman penjara seumur hidup yang dikenakan terhadap anak saya dikurangkan kepada hanya 12 tahun, saya sekeluarga sangat bersyukur.

“Selama ini saya ingat anak sulung saya akan mati di dalam penjara, namun mimpi ngeri itu nampaknya akan bertukar,” kata Mohamad Lazim, 54, ayah kepada Umi Azlim (gambar), 26, gadis Malaysia yang dipenjara di Guangzhou, China kerana kesalahan mengedar hampir tiga kilogram heroin.

Mohamad Lazim berkata, berita gembira itu diperolehnya daripada seorang saudara yang berhubung dengan kakitangan kedutaan Malaysia di China dan berharap ia adalah benar.

“Setakat ini saya berharap apa dikhabarkan kepada saya benar belaka. Saya bersyukur kerana rayuan dibuat sebelum ini mungkin mendapat maklum balas daripada mahkamah di China,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini keluarganya tertekan kerana Umi Azlim dijatuhi hukuman mati sebelum ditukar kepada penjara seumur hidup.

“Saya menganggap jika benar hukuman ke atas Umi Azlim dikurangkan kepada penjara 12 tahun, tiada yang lebih menggembirakan adik- beradiknya, terutama adik kembarnya Umi Azmira dan Umi Azuraiha, 18.

“Meskipun kami sekeluarga belum mendapat pengesahan mengenai perkara itu, sedikit sebanyak berita ini menceriakan kami, malah memberi harapan rayuan kami mungkin diterima,” katanya yang bekerja sebagai mekanik di Taman Desa Anda, di sini, semalam.

Mohamad Lazim (gambar) berkata, dia menyerahkan surat rayuan itu kepada pihak mahkamah ketika melawat Umi Azlim bersama arwah isterinya, Umi Slaia Ibrahim dan penyelaras Tabung Umi Azlim, Hu Pang Chaw, tiga tahun lalu.

“Pada awalnya kami menjangkakan hukuman penjara seumur hidup itu yang terakhir dikenakan terhadap Umi Azlin dan menganggap mungkin hayatnya akan berakhir di sana.

“Namun kini dengan berita yang kami peroleh, mungkin harapan untuk dia dibebaskan akan terlaksana,” katanya.

Menurutnya, daripada maklumat yang diberitahu kepadanya, bukan anaknya saja yang kini dipenjara di China atas kesalahan dadah, malah ramai lagi rakyat Malaysia ditahan atas kesalahan sama.

“Sebagai bapa, saya menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi pekerjaan anak mereka, terutama jika membabitkan perjalanan ke luar negara.

“Saya tidak mahu apa yang menimpa anak saya turut berlaku ke atas anak orang lain dan anggaplah ia sebagai pengajaran,” katanya yang memaklumkan dia mendapat tahu mengenai berita itu melalui adiknya pada sambutan Aidilfitri lalu.

Sebelum ini, Umi Azlim didakwa menyeludup dadah jenis heroin seberat 2,983 gram ke negara itu pada 19 Januari 2007 dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Undang-undang Jenayah Guangzhou pada Mei 2007, tetapi ditukar kepada penjara seumur hidup selepas rayuannya diterima.

15 ulasan:

Unknown berkata...

Semoga ahli keluarga dapat berjumpa dengan anak yang di penjara seumur hidup di China ini.

zam berkata...

baguslah jika hukuman tersebut dikurangkan. harap kes ini menjadi pengajaran kepada semua untuk lebih berhati-hati.

Tanpa Nama berkata...

nurul Azlim dipenjarakan atas tuduhan membawa dadah. sebenarnya dia diperalatkan kerana dia sendiri tidak tahu isi kandungan bungkusan tersebut. apapun, harap keadilan dpt ditegakkan untuknya. semoga hukuman untuknya dpt dikurangkan.

Tanpa Nama berkata...

setelah dibebaskan nanti, saya harap Umi Azlim insaf dan tidak akan melakukan perbuatan yang sama atau setaraf dengannya. mungkin Umi Azlim adalah antara yang bertuah kerana mempunyai peluang kedua dan saya harap beliau tidak mensia2kan peluang kedua ini..

Unknown berkata...

Nasib baik hukuman penjara Nurul dikurangkan.

Anak Sabah berkata...

Gadis ini bernasib baik kerana negara China tidak terus menjatuhkan hukuman mati kerana mengedar dadah. Diharapkan perkara ini akan dijadikan sebagai pengajaran kepadanya dan kepada orang lain.

nurfatihah berkata...

Berkat doa ibu bapa, syukur hukuman Umi dikurangkan. Sangat bernasib baik kerana China memang terkenal dengan ketegasan undang-undang mereka.

Gopuk berkata...

Apa yang bermain difikiran saya ialah adakah dia benar2 berniat untuk menyeludup masuk dadah ataupun dia benar2 tidak mengetahui bagaimana dadah itu boleh berada ditangan dia..emm tapi apapun gembirala jika betul hukuman beliau di kurangkan.

kb girl berkata...

Ini merupakan satu ajaran yang sangat mahal. Berhati-hati kepada semua gadis.

Unknown berkata...

Peasaan bapa mangsa boleh difahami. Harap anak beliau selamat dan dapat pulang ke tanah air secepat mungkin.

Unknown berkata...

Sungguh menyedihkan hati kerana kesalahan gadis ini telah diperdaya dan ditipu oleh sindikit penyeludupan.

Unknown berkata...

Kesian gadis malang ini. Harap insiden ini dapat menyedarkan ramai lagi gadis yang berangan-angan dan dilamun cinta buta.

captain berkata...

Kita doakan agar Umi dapat dibebaskan dengan secepat mungkin.

Unknown berkata...

12 bukan tempoh yang pendek, harap Umi berdiri teguh dan tidak putus asa.
Nanti keluar penjara, dia masih berpeluang hidup seperti orang biasa.

Yasmin berkata...

Shukurlah jika khabar itu benar. Saya berdoa agar ia benar. Pada masa yang sama, saya berdoa kita rakyat Malaysia akan mempertimbangkan semula hukuman mati mandatori ke atas orang yang mengedar atau diperdaya terbawa dadah di malaysia. Nasib mereka sama dengan umi azlim.