Selasa, 2 November 2010

Hentikan Tabung Budi, Selangor dakwa Syabas ‘gimik’

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Selangor membidas Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), yang melancarkan Tabung Budi baru-baru ini sambil menyifatkannya sebagai langkah gimik dan sekadar latihan perhubungan awam bagi memulihkan imej hodoh organisasi itu.

Selangor pimpinan Pakatan Rakyat juga menggesa Syabas menghentikan program Tabung Budi, yang disifatkan sebagai langkah sekadar topeng.

“Tidak keterlaluan untuk mengatakan, ia sekadar topeng,” kata beliau Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Katanya, ketidakikhlasan Syabas juga menyerlah apabila ketika Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Abdul Halim Mat Som meminta supaya isu ini tidak dipolitikkan, tiba-tiba terpacul pula Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan pada pelancaran ‘Tabung Budi’ tersebut.

Faekah berkata, lebih menghairankan, Syabas langsung tidak meminta pandangan kerajaan negeri mahupun berbincang mengenai langkah tersebut.

“Apa yang lebih penting pada kami ialah Syabas tidak ada hak dan tidak layak untuk mengutip derma daripada mana-mana individu pengguna air yang telah mendapat subsidi dari kerajaan negeri.

“Jika benar ada individu yang mahu mendermakan subsidi yang diberikan tersebut mereka hendaklah memulangkannya kepada kerajaan negeri dan bukannya kepada Syabas,” kata beliau lagi.

Sehubungan itu kata beliau, kerajaan negeri mahu Syabas berhenti daripada menggunakan skim tersebut sebagai topeng menutup segala kepincangan urus tadbir.

“Sekiranya Syabas benar-benar ingin menolong rakyat, kembalikan hak air kepada rakyat Selangor.

“Jangan ‘menderma’ ratusan ringgit, namun pada masa yang sama mencuri ratusan juta wang rakyat,” kata beliau.

Faekah berkata, kerajaan negeri komited dengan usaha meringankan beban sara hidup rakyat Selangor.

Katanya, ia adalah teras utama agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor yang menjadi tunggak pemerintahan Pakatan Rakyat sejak Mac 2008 lalu.

“Pada masa yang sama, kita sentiasa mengalu-alukan sektor swasta yang prihatin dan ingin turut serta membantu rakyat; secara terbuka dan ikhlas, sekali gus melaksanakan tanggung jawab sosial mereka.

“Ia adalah unsur penting untuk mewujudkan sebuah masyarakat madani terutama di negeri terkaya seperti Selangor,” katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya melihat ada keraguan melampau dan percanggahan niat dalam program Tabung Budi yang dilancarkan oleh Syabas baru-baru ini.

Tabung Budi melibatkan skim yang membolehkan pengguna air membayar balik kos 20 meter padu air yang disubsidikan oleh kerajaan negeri kepada rakyat Selangor dan diserahkan pula kepada Syabas.

Faekah juga berkata, modus operandinya tidak masuk akal kerana kerajaan negeri membayar Syabas dengan harga penuh iaitu RM11 juta sebulan.

Malah kata beliau, Syabas tidak layak untuk mengutip subsidi 20 meter padu tersebut dari mana-mana individu.

“Jika ia dilakukan, Syabas akan dibayar dua kali untuk 20 meter padu air yang sama.

“Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas dilaporkan berkata bahawa wang kutipan akan disalurkan kepada keluarga yang langsung tidak menerima 20 meter padu air percuma.

“Hairannya, mengapa Syabas tidak pula secara terus memberikan air percuma kepada rakyat tanpa menuntut bayaran penuh dari kerajaan negeri?” katanya lagi.

Lebih memeranjatkan lagi, kata beliau, sebahagian dari kutipan dana yang kononnya untuk membantu rakyat miskin turut datang daripada potongan gaji para pekerja Syabas sebanyak RM11.40 sebulan.

“Persoalannya, apakah potongan gaji sebanyak RM11.40 adalah sama untuk semua pekerja Syabas; baik pekerja kolar putih mahupun kolar biru?

“Adakah juruteknik Syabas yang berpendapatan RM2,000 sebulan akan menerima pemotongan gaji sama jumlahnya dengan Pengerusi Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail yang dibayar RM425,000 sebulan atau RM 5.1 juta setahun?

“Kita tidak perlu mempunyai kelulusan matematik untuk melihat ketempangan skim yang cuba diperkenalkan Syabas ini,” katanya.

Oleh itu katanya, kalau benar Syabas secara ikhlas mahu melaksanakan tanggungjawab sosial mereka, syarikat itu harus memulakannya dengan melantik juruaudit bebas bagi membuat penilaian jumlah gaji yang munasabah diberikan kepada pengarah eksekutifnya.

“Amat tidak wajar Syabas terus membebankan pekerja bawahan sementara pengerusi eksekutif menerima gaji yang cukup luar biasa.

“Pengumuman pelancaran program Syabas ini juga menimbulkan tanda tanya.

“Mengapa ia diilhamkan ketika intergriti Syabas begitu tercalar. Laporan audit Syabas menunjukkan bahawa lebih daripada 72 peratus kontrak yang diberikan oleh Syabas, dengan nilai sebanyak RM600 juta, telah dianugerahkan secara langsung tanpa tender terbuka dan dilaksana tanpa ketelusan,” kata Faekah lagi.

Katanya, tidak cukup dengan itu, terdapat juga perbezaan sebanyak RM325 juta apabila akaun awam Syabas dibandingkan dengan rekod-rekod kontrak yang dianugerahkan.

“Ke mana pergi duit ini?

“Rekod juga menunjukkan betapa pengurusan Syabas telah dijalankan dengan boros contohnya RM51.2 juta digunakan semata-mata untuk mengubahsuai pejabat Syabas sedangkan Jabatan Kawalselia Air Selangor hanya meluluskan RM23.2 juta.

“Audit juga mendedahkan bahawa pada Jun 2005, Syabas telah melanggar syarat konsensi dengan menganugerahkan kontrak untuk membeli paip kepada sebuah syarikat Indonesia yang bernilai RM375 juta sedangkan syarat jelas memperuntukkan hendaklah menggunakan paip buatan tempatan,” katanya lagi.

Tiada ulasan: