Sabtu, 20 November 2010

Hak mengundi tidak diberi kepada "rakan-rakan" BN

ChuaSoiLek01Oleh Rahmah Ghazali

KUALA LUMPUR: Para pemimpin utama Barisan Nasional (BN) bersetuju agar hak mengundi tidak diberi kepada "rakan-rakan" atau rakan bersekutu BN kerana bimbang berkemungkinan mana-mana komponen parti menjadi tidak relevan lagi pada masa depan.

Bercakap kepada para pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Pengurusan BN di ibu pejabat Umno di sini semalam, Presiden MCA Dr Chua Soi Lek berjanji bahawa hanya ahli-ahli BN diberi hak mengundi.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Hak mengundi tidak diberi kepada "rakan-rakan" walaupun mereka dibenarkan berdaftar sebagai ahli BN secara terus. Namun peranan mereka dalam BN akan diteliti.

"Semua bersetuju bahawa kita boleh menerima "rakan-rakan" dalam BN tapi peranan mereka masih menjadi tanda tanya. Adakah mereka akan dibenarkan untuk menghadiri mesyuarat-mesyuarat BN di peringkat negeri atau hanya di peringkat konvensyen?

"Pada dasarnya, kita bersetuju bahawa mereka tidak dibenar hak mengundi dalam BN. Hanya ahli-ahli BN boleh mengundi," kata Chua, menambah bahawa bagaimanapun, "ini telah mencetuskan berbagai pandangan ketika mesyuarat selama sejam itu."

Bagaimanapun hasil mesyuarat itu kata Chua, akan dibuat rumusan esok pada mesyuarat Majlis Tertinggi BN yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak.

Keputusan BN meminda perlembagaannya bagi membenarkan keahlian terus dengan BN menjadi tumpuan di mana ramai pemimpin dari parti-parti komponen melahirkan rasa bimbang parti mereka akan dipinggirkan pada pilihan raya umum akan datang.

Ramai berpendapat terdapat kemungkinan ahli-ahli BN akan dibenarkan bertanding menggunakan tiket BN tanpa menjadi ahli mana- mana parti komponen BN.

Dewasa ini, hanya ahli-ahli dari 13 komponen parti BN dibenarkan mengundi dan bertanding dalam pilihan raya.

Tiada rombakan kabinet dibincangkan

Dalam perkembangan lain, Chua disoal sama ada cadangan rombakan kabinet dibincangkan dalam mesyuarat itu.

Tanpa menafi atau mengesahkan bahawa rombakan kabinet akan dibuat tidak lama lagi seperti dilaporkan oleh media, Chua menjawab, "rombakan kabinet tidak akan dibincangkan dalam mesyuarat-mesyuarat BN." Spekulasi bertiup kencang bahawa rombakan kabinet oleh pentadbiran Najib akan diumumkan minggu depan atau awal Disember, dengan empat menteri akan digugurkan.

Empat menteri tersebut ialah Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Shabery Cheek; Menteri Kerja Raya, Shaziman Abu Mansor; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Ismail Sabri Yaakob; dan Menteri Pelancongan, Ng Yen Yen.

Sementara Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin akan dibawa menyertai kabinet sebagai timbalan menteri.

Bagaimanapun, Najib menafikan spekulasi ini dengan menyatakan tiada keputusan dibuat berhubung perkara ini.

Tiada ulasan: