Khamis, 4 November 2010

Gerakan Mansuh PPSMI kembali tahun depan – Prof Shahril


PC020200Oleh Mat Zahari Ali

PETALING JAYA: Gerakan mansuh Pengajian dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan memulakankan usaha mendesak kerajaan mengotakan janji untuk melaksanakan pemansuhan secara berperingkat-peringkat mulai tahun depan.

Timbalan Presidennya, Profesor Shahril Md Zain berkata pihaknya amat kesal dengan tindakan berdiam diri pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran yang masih membisu dalam memberikan reaksi berhubung isu terbabit.

"Dalam bajet baru-baru ini tidak ada disebutkan usaha pemansuhan tersebut tetapi Menteri Pelajaran ada memberi reaksi berhubung subjek Sejarah yang akan diperkenalkan semula.

"Mengenai PPSMI, menteri masih membisu," jelas beliau. Menurut Prof Shahril pihaknya akan menunggu sehingga tahun depan untuk melihat perkembangan pelaksanaan pemansuhan secara berperingkat-peringkat yang dijanjikan sebelum ini.

"Pihak kita terpaksa menunggu untuk melihat apa perkembangan yang dilakukan terhadap subjek-subjek Sains dan Matematik tahun depan. Tapi pihak kita desak pemansuhan PPSMI dapat dilaksanakan serta merta.

Memorandum demi memorandum

"Pihak kita tidak teragak-agak untuk menggerakkan semula Gerakan Mansuh PPSMI ini termasuk menghantar memorandum demi memorandum kepada Yang di Pertuan Agong sebagai mana dulu.

Katanya, Gerakan Mansuh PPSMI bukan bertujuan mengugut mana-mana pihak atau cuba untuk menganggu ketenteraman awam tetapi mahukan kerajaan mengotakan janji.

"Waktu nak lancar PPSMI dulu dibuat secara serta merta tanpa dibuat sebarang analisa khusus tetapi bila nak mansuh menteri memberi pelbagai alasan itu dan ini," jelasnya.

Menurut Prof Shahril lagi, pihaknya kesal kerana pihaknya tidak dipanggil untuk berbincang dengan Kementerian Pelajaran berhubung usaha pemansuhan PPSMI.

"Dulu adalah sekali dipanggil dalam satu forum untuk memperkasakan bahasa Inggeris yang saya anggap untuk menyejukkan keadaan,"ujar beliau.

PPSMI mula diperkenalkan pada 2003 ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad bertujuan untuk mengatasi kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dikalangan para pelajar.

RM5.1 bilion diperuntukan

Kerajaan telah memperuntukan RM5.1 bilion untuk melaksanakan beberapa fasa. Namun usaha tersebut mendapat tentangan tokoh-tokoh bahasa, budayawan dan cendikiawan kerana dianggap memperlekeh bahasa Melayu dan bahasa ibunda sebagai bahasa ilmu.

Kemuncak penentangan tersebut pada 7 Mac 2009, Gerakan Mansuh PPSMI yang dipimpin bekas pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, ribuan penunjuk perasaan membanjiri jalanraya.

Mereka mengharungi tembakan bertalu-talu meriam air dan gas pemedih mata untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Buat pertama kalinya, golongan seniman dan budayawan pelbagai bangsa – yang dilihat berdiam diri terhadap dasar kerajaan selama ini – bangkit menuntut pemansuhan PPSMI.

Akhirnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa tunduk kepada desakan yang berterusan itu.

Mansuh secara berperingkat

Dan pada Julai 2009, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga menteri pelajaran, akhirnya mengumumkan pemansuhan PPSMI akan dilakukan secara berperingkat-peringkat.

Mulai tahun 2012, kedua-dua subjek berkenaan di sekolah rendah akan kembali diajar dalam bahasa Malaysia. Manakala bagi sekolah kebangsaan dan dalam bahasa Cina dan Tamil di sekolah jenis kebangsaan (SJK) dibenarkan di ajar dalam bahasa ibunda masing-masing.

Tindakan kerajaan tersebut berjaya meredakan tekanan terhadap kerajaan.

Ramai pihak menganggap tidakan kerajaan melengah-lengahkan pemansuhan tersebut disebabkan terikat dengan perjanjian-perjanjian kontrak yang telah dipersetujui sebelum ini.

Manakala tindakan kerajaan memperkenalkan kembali subjek Sejarah mulai tahun depan dianggap sebagai usaha menggantikan kembali perjanjian kontrak yang terpaksa dibatalkan ekoran usaha memansuhkan PPSMI.

Tiada ulasan: