Isnin, 15 November 2010

Gelombang banjir Pahang bermula

SINAR HARIAN ONLINE

LIPIS - Hujan lebat yang melanda bermula 6 petang kelmarin hingga ke jam 6 pagi semalam mengakibatkan beberapa kampung kecil di sekitar Kuala Medang, Kuala Serau, Tanjung Gahai dan Kuala Koyan ditenggelami air.

Tinjauan Sinar Harian pagi semalam di beberapa kampung itu juga mendapati terdapat beberapa jalan darat yang terputus perhubungan sehingga mengakibatkan penduduk terpaksa menaiki bot untuk pergi ke sesuatu tempat.

Selain itu, terdapat juga beberapa rumah penduduk dan deretan kedai berhampiran dengan Sungai Jelai telah ditenggelami air hingga mengakibatkan mereka terpaksa berpindah ke kawasan yang lebih tinggi.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, pihaknya telah bersiap sedia bagi menghadapi musim tengkujuh yang dijangka tiba bila-bila masa sahaja selepas Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.

“Seperti yang diketahui Kuala Medang dan kampung berhampiran kerap dinaiki air kerana kawasan berkenaan berada di paras rendah serta berhampiran dengan Sungai Jelai.

“Kita juga telah menyiapkan peralatan seperti bot dan jaket keselamatan untuk menghadapi banjir tidak lama lagi. Selain itu, anggota polis juga telah bersiap sedia diturunkan bagi membantu memindahkan mangsa banjir di kawasan yang dikhuatiri mengalami bah teruk,” katanya.

Abdul Razak berkata, penduduk di daerah ini dinasihatkan agar segera berpindah ke kawasan yang lebih selamat seperti pusat pemindahan mangsa banjir sekiranya rumah mereka ditenggelami air.

Sementara itu di BENTONG, hujan lebat yang bermula pada jam 8 hingga 11 malam kelmarin menyebabkan beberapa kawasan rendah di sekitar daerah ini mengalami banjir kilat.

Antara kawasan terjejas ialah Pejabat Kesihatan Daerah Bentong, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Mun Repas dan beberapa rumah di 10 kampung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut, Datuk Hoh Khai Mun berkata, pihaknya mendapat maklumat awal bahawa terdapat hampir 500 rumah terbabit dengan banjir kilat kali ini.

Menurutnya, banjir kilat itu agak serius disebabkan paras air di kebanyakan sungai di daerah ini naik mendadak berbanding paras biasa.

“Hujan lebat menyebabkan paras air di semua sungai naik menyebabkan kawasan rendah banjir. Namun, kawasan yang dinaiki air adalah kawasan yang biasa dilanda banjir kilat,” katanya.

Khai Mun berkata, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru (JKKKB) diminta mengumpulkan maklumat lengkap berkaitan mangsa banjir kilat untuk memudahkan penyaluran bantuan.

Tiada ulasan: