Sabtu, 27 November 2010

Gambar bukti bukan pengawas pemilihan – Saifuddin

SELANGOR KINI


PETALING JAYA - Setiausaha Agung Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN), Saifuddin Nasution Ismail, hari ini menafikan pengawas pemilihan parti itu terlibat dalam salah laku ketika pemilihan kepimpinan minggu lalu termasuk menentukan calon untuk dipilih.

Beliau bertegas, gambar dua individu yang disiarkan akhbar Malaysiakini dan The Star hari ini bukan pengawas pemilihan KEADILAN.

Justeru Saifudin menyifatkan usaha tersebut berniat memburukkan imej parti memaparkan gambar dan keterangan yang mengelirukan rakyat berhubung proses pemilihan itu.

“Kedua-duanya bukan pengawas. Saya kenal mereka,” katanya merujuk kepada gambar yang memaparkan seorang lelaki memakai lencana calon timbalan presiden, Azmin Ali.

Dalam sidang media selepas perasmian Kongres Nasional Wanita dan AMK KEADILAN petang tadi, Saifudin merujuk gambar yang memperlihatkan seorang pengawas Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) sedang menuding jari kepada seorang ahli yang sedang mengundi di Merbok.

“Sedangkan, pengawas itu sedang membantu seorang pengundi yang buta huruf. Senarai calon panjang, bukan seperti pilihan raya umum (PRU) yang ada dua atau tiga calon saja. Untuk MPP saja, kita ada 20 calon,” katanya yang juga Ahli Parlimen Machang.

Katanya lagi, perkara itu merupakan amalan biasa seperti yang dilakukan dalam PRU oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sambil menegur media yang didakwa memberikan ‘konotasi negatif’, Saifuddin menjelaskan, setakat ini tiada sebarang aduan diterima oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP),

“Apa yang lebih aneh… aduan yang berserta gambar itu dihantar kepada portal tersebut melalui emel tetapi tidak disalurkan kepada JPP.

“Bagaimana kita hendak siasat jika aduan dihantar kepada Regina (wartawan Malaysiakini) tetapi tidak sampai ke meja JPP?” katany, sedikit berseloroh.

Tambah beliau, masih terdapat 12 daripada 289 keseluruhan aduan yang sedang disiasat sementara sembilan lagi di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sedang diteliti.

Kongres ke-7 Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN) hari ini bermula dengan sayap Wanita KEADILAN dan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) yang berlangsung di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Tiada ulasan: