Selasa, 2 November 2010

Eksploitasi: Islam celaru, bukan Islam keliru

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Baling, Taib Azamudden Md Taib mencadangkan kerajaan memikirkan langkah untuk mewujudkan Institut Fatwa Negara (Darul Ifta) bagi menyelesaikan segala perkara yang menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam.

Taib ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini mengambil contoh penganjuran pertunjukan fesyen busana muslim yang didakwa dinaungi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang menerima bantahan daripada pebagai pihak.

"Jawapan atas kertas memang cantik tapi realiti yang berlaku dalam masyarakat sebaliknya. Contohnya penganjuran busana muslim, ada ulama dalam surat khabar kata tak haram walaupun mendedahkan aurat kerana niatnya baik,” ujarnya.

Tambah beliau, yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat, pelbagai kekeliruan yang timbul bukan kerana masalah perselisihan pendapat tetapi masalah dasar yang melibatkan hukum agama.

"Pelbagai hujah diberikan dan pelbagai lagi isu yang memeningkan. Yang dijelaskan Timbalan Menteri tadi iala masalah khilaf. Tapi ini masalah dasar. Sebab itu di Kaherah atau di Mesir diwujudkan Darul Ifta untuk kawal perkara ini supaya perkara dasar jangan jadi perkara khilaf. Begitu juga di Damsyik ada Darul Hadis. Di Malaysia juga ada Darul Quran. Kenapa kita tidak selaraskan perkara ini," kata beliau.

Ujarnya juga, keadaan menjadi lebih celaru apabila terdapat pihak yang mengeksploitasi keadaan untuk menimbulkan kecelaruan dalam Islam.

"Saya lihat hari ini perkara-perkara seumpama ini diambil kesempatan oleh pihak-pihak yang tak bertanggungjawab untuk mengeksploitasi suasana ini supaya menampakkan Islam itu celaru.

"Yang memalukan kita ialah kepada orang-orang bukan Islam untuk cuba memahami apa itu Islam yang sebenar. Jadi adakah kita tidak mempunyai satu langkah untuk mewujudkan Darul Ifta supaya dapat mengawal semua isu.

"Kita tak mahu agama dipolitikkan. Menteri jawab semata-mata nak pertahankan kerajaan. Ini bukan masalah kerajaan atau pembangkang. Masalahnya ialah kekeliruan berlaku yang boleh menjejaskan imej Islam," katanya lagi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim bagaimanapun berkata, penubuhan Darul Ifta bergantung kepada persetujuan Majlis Raja-Raja.

"Majlis Raja-Raja hanya bersetuju supaya diperkasakan institusi yang ada tanpa menubuhkan Darul Ifta. Jadi kita akur. Yang penting bukan pada nama tapi kerja tersebut dijalankan. Saya tak nampak kecelaruan pada isu-isu tertentu sebab fatwa hanya perlu kepada perkara-perkara yang keliru sahaja," katanya.

Tiada ulasan: