Isnin, 8 November 2010

Cuepacs harap kerajaan nilai kembali pemberian bonus walau setengah bulan

WARKAH DAILY

SUNGAI PETANI: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan akan menimbang pemberian bonus dua bulan gaji kepada penjawat awam.

Presidennya, Omar Osman berkata, pihaknya melalui Mesyuarat Khas Majlis Kongres Cuepacs yang diadakan pada 8 Oktober lalu, telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri mengenai perkara itu.

Menurutnya, dalam memorandum itu, Cuepacs menggesa kerajaan memberikan bonus sekurang-kurangnya setengah bulan mahupun RM500 jika tidak mampu untuk memberikan dua bulan gaji.

“Tuntutan bonus dua bulan gaji ini diperjuangkan Cuepacs sejak tahun lalu, namun kita kecewa kerana dalam Bajet 2011, hanya bonus RM500 diberi kepada kakitangan awam dan pesara.

“Oleh itu saya meletakkan sedikit harapan agar kerajaan menilai kembali pemberian bonus, jika tidak mampu dua bulan gaji ataupun sebulan, sekurang-kurangnya setengah bulan gaji, tambahan pula selepas musim perayaan sebegini,” katanya ketika sidang media sempena Majlis Perjumpaan Presiden Cuepacs bersama Anggota Sektor Awam Kuala Muda di Ruang Legar SP Plaza, di sini, semalam.

Omar berkata, kehadirannya bertemu anggota sektor awam daerah ini juga untuk memberikan penjelasan kepada ahli bahawa Cuepacs tidak akan berdiam diri mengenai tuntutan itu.

Dalam perkembangan sama, Omar berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat membina sistem baru yang lebih baik pada Julai 2011 setelah Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dimansuhkan.

“Setelah PTK dimansuhkan, kita berharap menjelang Julai 2011, satu sistem baru menggantikan PTK lebih baik, adil dan saksama bagi memudahkan penjawat awam dalam proses kenaikan pangkat.

“Selain itu, kita turut memperjuangkan elaun sara hidup iaitu Cola agar sama rata diberikan, tidak mengikut zon seperti sebelumnya iaitu secara adil diberikan RM300 kepada semua penjawat awam setiap zon,” katanya.

Menurutnya, Cuepacs juga memperjuangkan kenaikan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) daripada RM180 kepada RM300 dan tuntutan Skim Gaji Baru berlandaskan modal insan yang berpendapatan tinggi. -SH

Tiada ulasan: