Jumaat, 26 November 2010

Bapa angkasawan negara nafi dakwaan perkahwinan anak ditaja PKNS

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor, bapa Angkasawan Negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, hari ini menafikan dakwaan kononnya majlis perkahwinan anaknya itu dengan Dr Harlina Mohd Yunos pada 10 Okt lepas ditaja Perbandanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai palsu, fitnah dan berniat jahat yang dibuat oleh pihak tertentu yang mempunyai kepentingan peribadi, tanpa pengesahan daripada beliau terlebih dahulu.

“Kenyataan yang dibuat ini mempunyai motif jahat, tohmahan palsu tanpa usul periksa dan merosakkan imej orang tertentu demi mereka yang berkepentingan,” katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di Subang dekat sini hari ini.

Menurut laporan media, majlis perkahwinan Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Harlina yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) telah menerima tajaan daripada PKNS sebanyak kira-kira RM520,000.

Sheikh Mustapha berkata peruntukan itu sebenarnya digunakan bagi penubuhan Penyelidikan Sains & Aeroangkasa di Taman Sains PKNS, Cyberjaya dan majlis makan malam bagi meraikan 120 angkasawan dari beberapa negara.

“Projek itu membabitkan Syarikat Advanced Science Education Sdn Bhd yang diwakili oleh Dr Sheikh Muszaphar dipersetujui oleh PKNS setelah kerajaan negeri lain menolaknya,” katanya.

Sheikh Mustapha juga tidak menolak kemungkinan projek tajaan PKNS itu telah menimbulkan rasa iri hati di kalangan pihak tertentu sehingga mereka melontar fitnah terhadap PKNS dan anaknya sendiri.

Dakwaan itu turut menjadi tumpuan pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor minggu lalu, apabila ADUN Hulu Klang Saari Sungib meminta kerajaan negeri supaya menyiasat kebenaran tuduhan itu.

Sheikh Mustapha yang mewakili anaknya berkata Dr Sheikh Muszaphar dan isteri yang kini berada di Mekah menunaikan ibadat haji turut kesal dan sedih dengan tuduhan itu dan menyifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab.

Tiada ulasan: