Selasa, 16 November 2010

Azmin selesa muncul timbalan presiden baru, Zaid sah keluar PKR

TERKINI

PETALING JAYA - Naib Presiden PKR Azmin Ali sudah hampir pasti untuk mengambil alih jawatan timbalan presiden dengan memperoleh majoriti 11,350 undi selepas lapan hari proses pengundian pemilihan pusat setakat semalam.

Kedudukan rasmi Azmin itu diumumkan ketika Datuk Zaid Ibrahim pula mengesahkan beliau akan keluar PKR.

Azmin (gambar) akan menggantikan Senator Dr Syed Husin Ali yang memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatannya.

Pada sidang media di sini petang ini, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata, Azmin memperoleh 14,751 undi manakala pesaingnya Mustaffa Kamil Ayub, seorang lagi naib presiden, menerima 3,401 undi daripada 165 cabang yang telah dikira pengundian.

Azmin akan mengambil alih jawatan timbalan presiden menerusi pemilihan pusat yang julung kali dilangsungkan secara langsung.

Awalnya, jawatan timbalan presiden menyaksikan saingan tiga penjuru antara Zaid, Azmin dan Mustaffa.

Bagaimanapun persaingan jawatan itu berubah menjadi pertarungan antara Azmin dan Mustaffa selepas Zaid menarik diri daripada bertanding, Isnin lalu atas alasan kecacatan dan kepincangan dalam proses pemilihan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang ini, Zaid yang juga bekas pengerusi PKR Wilayah Persekutuan mengesahkan beliau akan meninggalkan PKR, tetapi belum mengemukakan notis rasmi berhubung keputusannya kepada ibu pejabat parti.

“Benar saya akan keluar parti, tetapi saya belum mengemukakan (notis) keluar daripada parti secara rasmi.

“Saya akan membuat penjelasan (susulan) menerusi kenyataan akhbar Jumaat ini,” kata Zaid yang menyertai PKR pertengahan tahun lalu.

Zaid bertanding mewakili PKR pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor April lalu.

Beliau mendahului persaingan dua hari pertama tetapi dipotong oleh Azmin bermula hari ketiga.

Kedudukan Azmin semakin selesa selepas pengundian masuk hari keempat dengan memperoleh undi terbanyak dari Sabah.

Ditanya mengenai kedudukan Zaid, Saifuddin berkata, keputusan bekas menteri kerajaan pusat itu perlu dihormati, tetapi tindakannya tidak akan membawa impak negatif kepada parti.

“Zaid sudah buat keputusan, kita menghormati keputusan tersebut. Ia tidak ada impak negatif kepada parti apabila beliau keluar parti,” kata Saifuddin sambil menambah, “saya doakan yang terbaik kepada beliau”.

“PKR menyertai politik pada 1999 dan kita dapat sokongan 789,000 pengundi, pada 2004 kita dapat sokongan lebih 440,000 pengundi dan pada pilihan raya 2008 kita dapat 1.5 juta sokongan pengundi.

“Jadi rekod kita dah menunjukkan dengan atau tanpa Zaid, rekod kita dah buktikan,” kata beliau lagi.

Minggu lalu, Azmin meminta Zaid meneliti semula sebarang hasrat untuk menubuhkan parti baru sekiranya beliau dipecat atau disingkirkan daripada parti itu.

Katanya cadangan itu diharap tidak akan berlaku kerana mengikut fahamannya, Zaid menyertai PKR dengan semangat untuk bersama-sama dengan pimpinan dan anggota PKR bagi meneruskan agenda reformasi serta melakukan perubahan.

Zaid tidak menolak kemungkinan menubuhkan parti baru sekiranya dipecat daripada PKR kerana membuat saranan supaya penasihat parti itu Datuk Anwar Ibrahim supaya berundur.

Mengenai tindakan yang bakal dihadapi Zaid berikutan kenyataannya itu, Azmin berkata perkara itu akan diserahkan kepada jawatankuasa disiplin parti untuk menentukan bentuk tindakan kepada mana-mana anggota PKR yang telah melakukan kesalahan berdasarkan perlembagaan dan peraturan parti.

“Jawatankuasa disiplin kena buat cadangan pada biro politik dan majlis pimpinan pusat untuk diputuskan dan setakat hari ini kita belum terima sebarang cadangan daripada jawatankuasa disiplin. Kita akan teliti sebaik sahaja kita terima,” katanya.

Pada 8 November lalu, Zaid mengumumkan keputusannya untuk menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dan juga melepaskan semua jawatan dalam parti itu dengan alasan “terdapat penipuan dalam pemilihan”.

Azmin merupakan antara pemimpin yang berada dalam PKR sejak ia ditubuhkan.

Sebanyak 57 cabang lagi akan mengadakan pemilihan pusat hujung minggu ini sebelum menuju ke arah kongres tahunan bermula 26 hingga 28 November

Tiada ulasan: