Isnin, 22 November 2010

Azmin Ali bakal ambil alih jawatan nombor 2 PKR

BERNAMA

KUALA LUMPUR– Azmin Ali bakal menjadi Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) manakala anak sulung presiden dan penasihat parti, Nurul Izzah Anwar, hampir pasti mengisi salah satu daripada empat jawatan Naib Presiden.

Menurut pegawai parti itu, keputusan tidak rasmi selepas pengundian berakhir semalam menunjukkan Azmin meraih bilangan undian yang cukup besar untuk jawatan nombor dua dengan mengenepikan naib presiden Mustaffa Kamil Ayub.

Pegawai berkenaan, bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah undi yang diperolehi oleh calon kerana keputusan rasmi akan hanya diumumkan pada hari terakhir Kongres Nasional Tahunan PKR di Petaling Jaya, Ahad ini.

Seorang lagi calon Timbalan Presiden, Datuk Zaid Ibrahim, telah menarik diri daripada pertandingan dan Jumaat lepas telah mengumumkan beliau keluar parti mulai 16 Dis ini.

Namun Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail ketika dihubungi berkata biro politik parti itu telah mengadakan mesyuarat malam tadi dan mengambil keputusan untuk menerima pengunduran Zaid dengan serta-merta.

Pemilihan parti secara langsung itu dicemari dengan insiden kekecohan di beberapa cabang dan dakwaan wujud slahlaku manakala beberapa bilangan pengundi di beberapa cabang adalah amat kecil.

Penyandang Timbalan Presiden Dr Syed Husin Ali tidak bertanding semula manakala presiden Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menang tanpa bertanding.

Dalam pemilihan jawatan naib presiden, Nurul Izzah, iaitu Anggota Parlimen Lembah Pantai, yang juga anak kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah memperoleh jumlah undi paling tinggi.

Menurut pegawai parti, tiga lagi jawatan naib presiden pula ialah Pengarah Strategi PKR, Tian Chua, yang juga sekutu Anwar, pengarah pemilihan Fuziah Salleh dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr Mansor Othman.Tiga lagi calon, kesemua anggota majlis tertinggi – Dr Xavier Jayakumar, N. Gobalakrishnan dan Yahya Sahri – gagal dalam saingan merebut jawatan tersebut.

Bagi 20 Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Ketua Penerangan Wanita PKR Elizabeth Wong mendahului saingan diikuti penyandang Dr Badrul Amin Baharon, Khalid Jaafar, Hee Loy Sian dan Datuk Johari Abdul.

Bagi jawatan Ketua Wanita PKR, penyandang Zuraida Kamaruddin sudah pasti dapat mengekalkan jawatan dengan mengenepikan pencabar Dr Suraya Sudin dan Animah Ferrar.

Menurut sumber parti, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin, telah berjaya mengekalkan jawatan dengan mengatasi anggota MPP Badrul Hisham Shaharin, atau lebih dikenali sebagai Chegubard, dengan majoriti tipis.

Tiada ulasan: