Isnin, 22 November 2010

Artikel fitnah: MB Perak menang saman RM100 juta

BERNAMA


Zambry menafikan bahawa beliau dilarang memasuki Amerika Syarikat seperti didakwa oleh Suara Keadilan. — gambar fail

KUALA LUMPUR— Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini memperoleh penghakiman terhadap akhbar Suara Keadilan dalam kes saman RM100 juta yang difailkannya berhubung penyiaran artikel fitnah oleh lidah Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi Noordura Mohamad Din membenarkan permohonan Zambry untuk mendapatkan penghakiman pada bahagian-bahagian tertentu dalam pernyataan pembelaan defendan selepas mendengar penghujahan kedua-dua belah pihak di dalam kamarnya.

Peguam Zambry, Firoz Hussein Jamaluddin memberitahu pemberita bahawa mahkamah akan menilai ganti rugi berkenaan kemudian.

Beliau berkata mahkamah menetapkan 29 November bagi pengurusan kes kedua-dua pihak untuk berhujah di hadapan hakim tentang maksud di sebalik perkataan-perkataan fitnah yang dinyatakan dalam pernyataan tuntutan Zambry.

Menteri Besar Perak memohon bagi memasukkan penghakiman mengikut Aturan 27 (Peraturan 3) Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980 berikutan pengakuan defendan-defendan dalam pernyataan pembelaan mereka.

Firoz Hussein memberitahu wartawan bahawa defendan dalam pembelaan mereka mengakui bahawa perkatan-perkataan “Zambry gagal memasuki Amerika Syarikat kerana disyaki pengganas” pada edisi 29 Disember 2009 — 5 Januari 2010, adalah palsu dan tidak berasas.

Pada 25 Februari lepas, Zambry memfailkan saman fitnah menamakan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku pemegang jawatan dalam PKR, Timbalan Presiden Dr Syed Husin Ali yang juga ketua editor Suara Keadilan, penerbit akhbar berkenaan, Pelita Koridor Sdn Bhd dan pencetak Suara Keadilan, Percetakan NPK Sdn Bhd sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Zambry berkata artikel yang disiarkan dalam akhbar Suara Keadilan edisi 29 Disember 2009 — 5 Januari 2010, bertajuk “Zambry Disyaki Pengganas — Gagal Masuk ke Amerika Syarikat” mengandungi perkataan berunsur fitnah yang palsu, tidak berasas dan disiarkan dengan berniat jahat.

Zambry menegaskan bahawa beliau tidak dihalang daripada memasuki Amerika Syarikat, malah dibenarkan masuk ke negara itu serta diberikan pengiktirafan yang sesuai dengan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Perak.

Zambry berkata lawatannya ke Amerika Syarikat mendapat liputan meluas media dan defendan telah menyiarkan kata-kata berunsur fitnah itu dengan sengaja.

Menteri Besar Perak itu berkata perkataan berunsur fitnah itu telah melukakan perasaannya dengan begitu mendalam, mencemarkan dengan teruk reputasi awam, peribadi dan politiknya serta membawa kepada skandal awam, kebencian dan penghinaan.

Beliau menuntut ganti rugi RM100 juta, termasuk ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, faedah lapan peratus setahun dan juga injunksi bagi menghalang defendan daripada menyiarkan perkataan berunsur fitnah itu atau sebarang perkataan berunsur fitnah yang serupa terhadapnya.

Defendan, dalam pernyataan pembelaan mereka, menyatakan bahawa permohonan maaf bertajuk “Mohon Maaf Dr Zambry” dan penarikan balik artikel telah disiarkan dalam akhbar parti keluaran 30 Mac — 6 April 2010.

Kesemua defendan diwakili peguam Ranjit Singh.

Tiada ulasan: