Rabu, 24 November 2010

Anwar dakwa hakim intimidasi Karpal, mahu tarik diri dengar kes liwat


KUALA LUMPUR – Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa hakim yang mendengar kes liwatnya telah “intimidasi” peguam utamanya, Karpal Singh dalam usaha mereka mahu melucutkan beliau daripada mendengar kesnya.

Dalam afidavit bertulis difailkan petang ini bersama notis usul mahu hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah dilucutkan, Anwar (gambar) berkata hakim itu telah “mengugut” Karpal semalam apabila peguam itu memberikan notis hasrat pembela untuk memfailkan satu permohonan mahu melucutkan Mohd Zabidin.

“Peguam saya, ketika itu ada memberikan notis kepada hakim bahawa dia telah diarahkan oleh anak guamannya (saya) untuk meminta hakim berkenaan menarik diri daripada mendengar kes.

“Sebabnya kerana hakim tidak menghormati keputusan Mahkamah Agung dalam kes United Asian Bank Berhad lwn Tai Soon Heng Constructiion Sdn Bhd (1993).

“Hakim kemudian mengatakan bahawa bahawa apa yang dikatakan oleh peguam saya boleh dianggap sebagai menghina mahkamah. Peguam saya menjawab dengan berkata isu menghina mahkamah tak timbul dan saya tidak diberikan perbicaraan yang adil,” kata Anwar dalam afidavitnya.

Menurut nota perbicaraan kes semalam, Karpal telah mendakwa Mohd Zabidin telah menggunakan ugutan, oleh itu telah intimidasi peguamnya.

Anwar berkata walaupun hakim telah menarik balik kenyataan-kenyataan “hina mahkamah” tetapi bersetuju bahawa “tidak wajar” beliau mengatakan demikian ke atas Karpal, tindakan “intimidasi” itu menunjukkan ada asas bias bahaya yang sebenar, yang akan menghalang Anwar daripada menerima perbicaraan adil.

Anwar juga menekankan permohonan untuk menggugurkan hakim adalah semata-mata bersandarkan pada tindakan Mohd Zabidin dan bukan kerana sebab lain.

Terdahulu di mahkamah, Karpal memaklumkan hakim bahawa notis bersama permohonan Anwar telah difailkan dan perbicaraan tidak boleh diteruskan sehingga Mohd Zabidin mendengar permohonannya.

Mohd Zabidin kemudian menetapkan pagi esok untuk mendengar permohonan pembela itu.

Tiada ulasan: