Selasa, 30 November 2010

Aminulrasyid seperti pemandu berpengalaman – saksi


Aminul rashidOleh Jamilah Kamarudin

SHAH ALAM: Saksi ke-28 perbicaraan kes kematian Aminulrasyid Amzah hari ini memberitahu mahkamah kereta Proton Iswara yang dikejarnya itu seperti dipandu oleh orang yang berpengalaman.

R Lokman R Daly, 23, dalam keterangannya berkata, semasa insiden kejar mengejar antara tiga motosikal yang ditunggangnya bersama dua rakan lain, beliau mendapati kereta BET 2053 dipandu laju melebihi 120km/j ketika berada di jalan raya yang lurus.

Beliau juga mendakwa selain melanggar lampu isyarat merah, pemandu kereta Proton Iswara putih itu mampu menyusup laju mencelah kereta yang lain secara ‘zig-zag’ semasa tiba di lampu isyarat simpang empat berdekatan Plaza Masalam Seksyen 8 di sini.

"Pemandu seperti berpengalaman kerana dia laju dan boleh elak kereta lain," katanya semasa disoal balas peguam bela M Athimulan.

Kereta Proton Iswara putih pada malam kejadian 26 April lalu dipandu pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 di sini yang mangsa tembakan polis, Aminulrasyid Amzah.

Lokman berkata dalam insiden itu juga, beliau bersama dua rakan lain cuba menyuruh pemandu kereta BET 2053 supaya berhenti namun gagal malah dihimpit terus oleh kereta berkenaan.

"Salah seorang rakan saya, Suffian yang berjaya memotong kereta itu cuba mengarahkan pemandunya berhenti tapi saya lihat dihimpit dan terpaksa memperlahankan motosikalnya," katanya.

Beliau juga mendakwa motosikalnya turut dihimpit kereta berkenaan ke bahu kanan jalan sewaktu cuba mendekati kereta terbabit dan mahu mengarahkan pemandu kereta agar berhenti.

Terjatuh dari motosikal

Beliau mendakwa cubaannya gagal malah terus terjatuh daripada motosikal bagi mengelakkan daripada dilanggar kereta terbabit dan pembahagi kanan jalan.

"Kalau saya tak elak kemalangan lebih serius mungkin berlaku," katanya. Beliau ketika disoal Athimulan jika dalam insiden itu ada antara rakannya pernah melanggar kereta Proton Iswara, beliau menafikannya.

Kenyataannya itu sekaligus menolak dakwaan rakan Aminulrasyid, Azamuddin Omar di media sebelum ini yang mengatakan kereta mangsa dilanggar oleh salah serang pemandu motosikal.

Lokman dalam kenyataannya juga sekali lagi mengesahkan kereta BET 2053 melanggar kereta Toyota Cellica milik rakannya yang terletak di selekoh jalan di Restoran Ali’s Cafe di Seksyen 7 di sini.

"Setuju….. dia yang langgar kereta Toyota Cellica rakan saya…mungkin ketika itu dia hendak membelok tapi saya rasa dia tak sengaja," katanya.

Tiada ulasan: