Selasa, 2 November 2010

90 peratus jemaah haji Malaysia wajib bayar dam

THE MALAYSIAN INSIDER

MEKAH— Kira-kira 90 peratus daripada 26,000 jemaah haji Malaysia yang memilih mengerjakan ibadah haji Tamattuk pada musim haji ini dikehendaki membayar dam mengikut syarat-syaratnya.

Pengurus Besar (Bimbingan) Lembaga Tabung Haji (TH), Tengku Aziz Raja Abdullah berkata dam yang wajib dibayar itu ialah dengan menyembelih seekor kambing atau satu pertujuh bahagian seekor lembu.

“Jemaah haji boleh memilih dengan membayar sebanyak 350 Saudi Riyal (SR) untuk seekor kambing iaitu mengikut harga pasaran, bagi seorang.

TH cuma memberikan perkhidmatan yang boleh diwakilkan kepadanya mengikut Ju’’alah (wakil yang dilantik),” kata Tengku Aziz kepada pasukan media TH yang membuat liputan Musim Haji 1431 Hijrah.

Beliau berkata TH menawarkan perkhidmatan bayaran dam di kaunter kewangannya di Mekah dengan memotong dari akaun simpanan atau membayar tunai bagi memudahkan jemaah haji tidak perlu bersusah payah menguruskannya sendiri.

“Sebenarnya ada lima kategori jemaah yang mengerjakan haji Tamattuk tetapi tidak dikenakan dam. Antaranya ialah mereka yang mengerjakan umrah dalam musim haji dan dia keluar dua marhalah (91 km) dari Tanah Haram atau lebih untuk berniat haji dan kemudian masuk semula ke Mekah untuk menunaikan haji,” katanya.

Menurut Tengku Aziz jemaah haji tidak dipaksa mewakilkannya kepada TH dan boleh menguruskannya sendiri kerana perkhidmatan tambahan ini disediakan bagi membantu mereka yang sukar mencari kambing dan menyembelihnya.

Haji Tamattuk ialah jemaah haji yang menunaikan umrah dahulu dalam bulan haji dan kemudian mengerjakan haji pada tahun hijrah yang sama. Haji Qiran, jemaah haji mengerjakan umrah dan haji secara serentak dan mereka dikenakan dam.

Kira-kira 10 peratus lagi jemaah Malaysia yang mengerjakan Haji Ifrad iaitu menunaikan ibadah haji dahulu dan mengerjakan umrah kemudian tidak perlu membayar dam, kata Tengku Aziz.

Menurut beliau lazimnya pelaksanaan dam dijalankan setelah tamat musim haji oleh pejabat Konsul Haji Malaysia di Jeddah dan daging akan diagihkan kepada fakir miskin di Mekah.

“Saya harap jemaah akan mewakilkan pembayaran dam kepada TH supaya mereka dapat mengerjakan ibadah dengan tenang. InsyaAllah kami akan melaksanakan amanah ini dengan sebaik-baiknya,” kata Tengku Aziz.

Tiada ulasan: