Selasa, 2 November 2010

47 TAHUN TANPA KLINIK PERGIGIAN DI TENOM?


Oleh: MAIL MATHEW

KERAJAAN khususnya, Kementerian Kesihatan Malaysia digesa agar mewujudkan satu lagi Klinik Pergigian di Tenom, Sabah dalam usaha memenuhi permintaan pesakit yang bermasalah dari segi pergigian kerana sebelum ini mereka (pesakit) menampung kos tinggi terpaksa berulang alik ke Keningau untuk mendapatkan rawatan.

Gesaan itu dibuat Pemaju Mukim kawasan Pekan dan Kalang, Richard @ Ang Chai Ho, 58, (gambar) yang merungut kerana Sabah telah merdeka lebih 47 tahun lalu tetapi kemudahan seperti itu belum dapat dibina di Tenom.

Tegasnya, beliau sering menjadi sasaran masyarakat di kawasan mukimnya kerana para pesakit yang mahu mendapatkan rawatan pergigian terpaksa mengeluarkan kos lebih untuk bertandang ke daerah Keningau yang letaknya kira-kira 45 kilometer daripada Tenom.

“Lagipun, kalau kami datang ke Keningau, harus membuat pendaftaran dulu dan kemudian buat temu janji dengan doktor pergigian dan kena buang masa beberapa hari lagi,” tegas Richard.

Beliau berkata, mungkin Kementerian Kesihatan tidak pernah mengadakan kajian demografi sehingga menafikan hak Tenom untuk mendapatkan beberapa buah Klinik Pergigian terutama di kawasan Kemabong dan Lagud Seberang.

“Tenom bukan lagi berstatus ‘sub-district’, malah sudah menjadi daerah penuh tetapi kenapa Kementerian Kesihatan (terutama Datuk Rosnah Rashid Shirlin) seperti buat tidak tahu sahaja atau sengaja ‘overlook’ masalah ini. Kita bukan menyalahkan wakil rakyat, tetapi ketua jabatan berkenaan harus buat perancangan awal berdasarkan keperluan penduduk masakini,” tambah Richard lagi.

Dalam pada itu, Richard turut meminta Syarikat Telekom ™ supaya mewujudkan kaunter pembayaran bil sendiri sepertimana di daerah lain kerana bayaran selalu tertunggak dan lambat sampai apabila bil bayaran dibuat di Pejabat Pos.

“Saya menerima banyak aduan dari kawasan mukim saya tetapi masalah ini sudah juga disampaikan kepada pihak terbabit, tetapi mereka macam ‘tidak ada telinga’. Ada juga yang merungut kerana talian internet mereka sering terganggu sampai beberapa hari baru dapat dipulihkan,” tegas Richard Ang.

Tiada ulasan: