Khamis, 25 November 2010

21 Feb dengar batalkan permohonan bukan Islam jadi peguam syarie

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan Majlis Agama Wilayah Persekutuan (MAWIP) pada 21 Februari untuk membatalkan permohonan seorang peguam wanita bukan Islam menjadi peguam syarie.

Timbalan Pendaftar Halilah Suboh menetapkan tarikh itu dalam kamar hari ini setelah menemui peguam Victoria Jayaseele Martin, Jamie Wong dan Zulkifli Che Yong yang mewakili MAWIP.

Pada 19 Mei, Martin memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan bahawa hanya peguam beragama Islam sahaja dibenarkan sebagai pengamal di Mahkamah Syariah di Wilayah Persekutuan.

Dalam permohonan beliau, Martin juga meminta satu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan MAWIP, melalui jawatankuasa peguam syarie, menafikan permohonannya untuk diterima sebagai peguam syarie.

Beliau menamakan MAWIP sebagai responden.

Antara lain, Martin, 48, mahu satu perintah mandamus untuk meminta MAWIP menerima beliau sebagai peguam syarie.

Beliau juga meminta satu pengisytiharan bahawa Perintah 10 Peraturan Peguam Syarie 1993, memberikan mandat bahawa hanya orang Islam boleh diterima sebagai peguam syarie, bercanggah dengan Artikel 5, 8, dan 10 Perlembagaan Persekutuan.

Pada 14 Mei, beliau mendapat kebenaran daripada Mahkamah Tinggi dalam perundangan permulaan untuk memohon menjadi peguam syarie di Wilayah Persekutuan selepas Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh membenarkan permohonan beliau untuk semakan kehakiman.

Ini merupakan kes ujian pertama di Kuala Lumpur di mana seorang peguam bukan Islam diberikan kebenaran untuk mencabar keputusan bahawa hanya peguam Islam dibenarkan menjadi pengamal di Mahkamah Syariah di sini.

Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, satu keperluan utama untuk menjadi seorang peguam syarie ialah seseorang itu mestilah orang Islam.

Martin, yang memperoleh Diploma dalam Undang-undang Syariah dan Amalan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 2004, telah memohon tindakan undang-undang di mahkamah sivil setelah permohonan beliau untuk diterima sebagai peguam syarie ditolak oleh MAWIP

Tiada ulasan: