Isnin, 29 November 2010

2 anggota polis dipenjara 2 bulan, denda RM10,000 kerana rasuah

BERITA HARIAN ONLINE

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret membebaskan dua anggota polis daripada tuduhan menerima rasuah sebaliknya mengenakan hukuman penjara dua bulan dan denda RM10,000.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin membuat keputusan itu setelah menerima rayuan pihak pendakwaan dan mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret di sini yang membebaskan Lans Koperal Mohd Salleh Musa, 47, dan Lans Koperal Hasnul Malik Yeop Mat Rasid, 51, daripada tuduhan itu pada 29 Oktober tahun lalu.

Hakim Mohd Azman bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sehingga rayuan selesai didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.
Sebaliknya permohonan untuk menangguhkan pembayaran denda pula ditolak menyebabkannya perlu dijelaskan pada hari ini.

Pihak pendakwaan yang bertindak sebagai perayu dalam kes ini diwakili Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Iznina Hanim Hashim manakala kedua-dua anggota polis berkenaan diwakili peguam K.C Ang.

Mengikut pertuduhan, Mohd Salleh dan Hasnul Malik telah meminta suapan wang tunai RM500 di balai polis Kota Sarang Semut di sini pada 5.15 petang 2 Disember 2005 daripada Wong Kok Choon sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lelaki berkenaan yang didakwa telah mengganggu seorang gadis.

Pihak pendakwaan memfailkan rayuan selepas Mohd Salleh, yang telah berkhidmat selama 28 tahun dalam Polis Diraja Malaysia dan Hasnul Malik, yang telah berkhidmat 32 tahun, dibebaskan daripada tuduhan itu oleh Mahkamah Majistret di sini di akhir kes pembelaan.

Tiada ulasan: