Ahad, 3 Oktober 2010

Zahid: ATM bawa balik enjin jet dicuri dari Uruguay bulan ini

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Mahkamah Uruguay telah memutuskan bahawa dua buah enjin F-5E jenis GE J85 21-A yang kini berada di dalam pegangan kerajaan Uruguay adalah hak milik kerajaan Malaysia.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang menghubungi beliau tiga hari lepas bagi memaklumkan keputusan mahkamah itu.

“Kita akan menghantar satu pasukan terdiri daripada pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pejabat Peguam Negara ke Uruguay dalam bulan ini bagi mengambil semula enjin tersebut.

“Jabatan Peguam Negara sedang berusaha menterjemahkan keputusan mahkamah tersebut dalam Bahasa Sepanyol ke Bahasa Inggeris bagi memastikan kandungan dan maksud sebenar tidak mengelirukan mana-mana pihak dan dijangka proses ini akan mengambil masa selama seminggu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Pertahanan di sini malam tadi.

Ahmad Zahid berkata proses pengurusan membawa pulang enjin tersebut akan dikendalikan sepenuhnya oleh Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa Jabatan Peguam Negara.

Beliau berkata proses itu merupakan perkembangan yang positif di dalam pengurusan kes tersebut dan setiap langkah pastinya perlu mengambil kira kesan secara langsung ke atas proses pendakwaan yang sedang berjalan.

Menurutnya, proses memperoleh semula enjin berkenaan menunjukkan wujudnya hubungan baik antara kedua-dua kerajaan walaupun berlaku kes sedemikian.

Beliau berkata kejayaan kes itu adalah kerjasama baik antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pejabat Peguam Negara dan Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga selesainya kes berkenaan.

Enjin tersebut dilaporkan hilang dari dua kemudahaan TUDM pada 20 Disember 2007 dan 1 Januari 2008.

Ahmad Zahid turut menafikan tohmahan dan fitnah yang mendakwa kedua-dua enjin tersebut bernilai RM100 juta sedangkan keseluruhan sebuah pesawat seumpama itu hanya bernilai RM2.45 juta.

Tiada ulasan: