Rabu, 20 Oktober 2010

"Wanita perlu berusaha untuk jawatan tinggi parti"

FREE MALAYSIA TODAY

Umno KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyeru pucuk pimpinan pergerakan itu berusaha untuk menjawat jawatan tertinggi parti.

Katanya, jawatan yang dimaksudkan itu seperti Menteri Besar, Ketua Menteri, Pengerusi Perhubungan Negeri dan jawatan tertinggi parti.

Menurutnya, bagi mencapai impian itu ahli perlu mempersiapkan diri dalam berdepan lonjakan kepimpinan itu.

"Ahli Exco Wanita mesti berani memperjuangkan dan menyediakan ‘prasarana’ dan ‘lebuh raya’ untuk melonjak ke satu tahap kepimpinan yang membanggakan.

"Misalnya, menjadi Menteri Besar,Ketua Menteri, pengerusi perhubungan negeri dan jawatan tertinggi dalam parti," katanya dalam ucapan dasar perhimpunan agung perrgerakan Wanita Umno di PWTC hari ini.

Kata Shahrizat, perkara itu bakal menjadi realiti sekiranya wanita bersiap sedia dan kemenangan pilihan raya ke-13 berpihak kepada BN.

"Jika Wanita Umno bersiap sedia, dan kita menang PRU-13 saya percaya ia tidak mustahil boleh berlaku di era kepimpinan Datuk Seri Najib Razak kerana beliau seorang yang ‘visionary’ yang mampu dan berani mengupayakan wanita," kata beliau.

Formula kejayaan melalui kesaksamaan gender

Tambahnya, melalui inisiatif kerajaan dalam Model Ekonomi Baru; Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA); Bidang Keutamaan Ekonomi Negara (NKEA),Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan Bajet 2011 memberi manfaat kepada wanita.

"Pendekatan melalui kesaksamaan gender mahupun ‘gender equity’ dapat memastikan wanita dan lelaki bebas membangunkan keupayaan dan potensi tanpa halangan.

Beliau turut mengingatkan ahli-ahli wanita agar keluar daripada zon selesa dan terus membantu parti dalam persiapan pilihan raya akan datang.

"Kita tidak boleh lagi berada di dalam apa yang dikatakan zon selesa.

"Saya percaya dan menaruh harapan untuk kita membantu presiden, timbalan, naib, pucuk-pucuk kepimpinan parti dan membawa kemenangan besar dalam pilihan raya umum ke-13.

"Rakyat jelata yang menunggu ,melihat,mendengar serta berharap bahawa kita akan menjalankan tugas dengan baik,bijak dan berkhemah kerana mereka mahu terus menyokong kepimpinan BN,"katanya.

Tiada ulasan: