Selasa, 5 Oktober 2010

Usaha tarik pelabur pendidikan

FREE MALAYSIA TODAY

khalid bm Pelan Induk Selangor 2011-2013

SHAH ALAM: Plan Induk Selangor 2011- 2013 akan menjadikan Sektor pendidikan sebagai salah satu bidang yang diberi keutamaan untuk dimajukan bagi menggalakkan lebih ramai pelabur melabur di Selangor.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pelabur sektor pendidikan yang merupakan antara penyumbang terbesar kepada ekonomi Selangor akan dilibatkan secara langsung dalam Pelan Induk yang menjadi dasar dan polisi Kerajaan Negeri Selangor untuk tempoh tiga tahun.

Beliau berkata, selain sektor perkhidmatan dan sektor pembuatan, sektor pendidikan turut dikenal pasti sebagai salah satu sektor terpenting dan penyumbang terbesar dalam memacu ekonomi Negeri Selangor.

“Sektor pendidikan sedang pesat membangun dan berdaya saing. Kehadiran pelajar dari luar Selangor dan pelajar asing memberi kesan besar kepada pembangunan negeri ini.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri tidak akan meminggirkan sektor pendidikan ketika kita membuat sebarang keputusan yang melibatkan dasar dan polisi kerajaan Selangor,” katanya ketika mengadakan sesi dialog Pelan Induk Selangor 2011-2013 bersama sektor pendidikan di Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC) di sini, baru-baru ini.

Pelan Induk Selangor 2011-2013 merupakan satu rancangan tiga tahun Negeri Selangor. Selain berbermatlamat untuk meningkatkan ekonomi negeri ia turut merangkumi dasar sosial.

Dasar sosial yang dimaksudkan ialah pembasmian kemiskinan, pendidikan, pembangunan berterusan, ketelusan, kebertanggungjwaban dan tindakan integriti, isu-isu gender, inisiatif untuk belia, peluang pekerjaan, pembangunan sumber manusia dan latihan serta isu-isu agama.

Melibatkan pandangan semua pihak

Pelan ini dilaksanakan dengan melibatkan pandangan semua pihak melalui rundingan secara demokrasi bagi membolehkan kerajaan mendapat maklum balas dan idea dari semua pihak demi menjadikan Selangor lebih baik dan melahirkan generasi muda yang lebih bersemangat.

Lebih 20 wakil universiti, kolej universiti dan kolej swasta menghadiri sesi dialog ini termasuk Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Cosmopoint, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Masterskill, Kolej Universiti Sunway Kolej Vision, Kolej Pendidikan Perdana, Kolej Inti, Kolej Segi, Kolej Primary dan pusat pengajian milik kerajaan Selangor seperti Universiti Industri Selangor (UNISEL), Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dan Kolej Antarabangsa Inpens.

Ketika menjawab masalah yang dibangkitkan oleh peserta dialog, Khalid berkata, kerajaan negeri memandang serius masalah yang dikhuatiri boleh menjejaskan minat pelabur sektor pendidikan seperti kos sewa rumah yang tinggi, kesesakkan lalu lintas dan masalah fasiliti seperti lampu jalan dan pengangkutan.

Peserta mencadangkan supaya Kerajaan Selangor melabur dengan membina kemudahan asrama atau penginapan untuk disewakan kepada pelajar-pelajar bagi mengatasi masalah kekurangan tempat tinggal dan sewa mahal yang ditanggung pelajar.

Menurut Khalid, cadangan supaya kerajaan melabur dengan membina kemudahan asrama atau penginapan untuk disewakan kepada pelajar-pelajar akan menelan belanja yang besar, jesteru itu ia memerlukan kajian yang mendalam.

Selain cadangan Khalid agar pihak universiti dan kolej berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab menyediakan dan menyelenggara kemudahan asas, terdapat cadangan lain.

Exco Kerajaan Negeri, Teresa Kok turut mencadangkan agar mereka membuka cawangan di Lembah Beringin, Bukit Beruntung atau Bernam Jaya bagi mengelak kesesakan jalan raya dan kos operasi yang lebih rendah.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Industri dan Perdagangan, Kerajaan negeri dalam perancangan untuk membangunkan kawasan-kawasan ini sebagai bandar baru.

Beberapa pelabur antarabangsa telah menunjukkan minat untuk melabur di kawasan tersebut termasuk Universiti Madinah yang bercadang membuka kampusnya di Lembah Beringin.

Tiada ulasan: